Polis, SPR digesa siasat Sanusi atas dakwaan politik wang, kata Fahmi

Polis, SPR digesa siasat Sanusi atas dakwaan politik wang, kata Fahmi

Menteri komunikasi digital itu berkata, kenyataan menteri besar Kedah itu menunjukkan dan menggambarkan seolah-olah pengundi di Kedah pada pilihan raya umum yang lalu diberi ganjaran atas undi mereka.

Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil berkata kenyataan Sanusi Md Nor ini sangat bahaya dan wajar disiasat polis dan SPR kerana politik wang semakin menjadi-jadi dan seakan dihalalkan dengan terma dan takrif.
PETALING JAYA:
Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil menggesa pihak berkuasa menyiasat Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor susulan kenyataannya yang didakwa menjurus politik wang dalam satu ceramah.

Ceramah itu yang dirakam dan dimuatnaik ke TikTok berkenaan rungutan di media sosial segelintir pengundi tidak mendapat elaun pulang mengundi.

Fahmi yang juga pengarah komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata, rakaman video berkenaan seolah-olah menunjukkan dan menggambarkan pengundi di Kedah diberi ganjaran atas undi mereka pada pilihan raya umum lalu.

“Mereka diberi ganjaran RM50, RM100 dan sebagainya, atau ia cuba dilindungi sama ada sebagai dana untuk balik (mengundi).

“Tapi ia berulang dalam konteks pilihan raya kecil Padang Serai, saya percaya kenyataan beliau (Sanusi) ini, sangat bahaya dan wajar disiasat polis dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) kerana yang saya risaukan adalah politik wang semakin menjadi-jadi dan seakan dihalalkan dengan terma dan takrif.

“Kita tahu ia adalah satu bentuk sogokan supaya pengundi memilih satu-satu parti, jadi saya mohon pihak berkuasa ambil tindakan segera menyiasat Sanusi mengenai kenyataan beliau,” kata Fahmi dalam rakaman video yang dimuatnaik di Twitter.

Terdahulu, Sanusi yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah menyelar pengundi yang menuntut wang pulang ke kampung halaman mengundi.

Dalam ceramah kempen menyokong calon PN Azman Nasruddin pada pilihan raya Parlimen Padang Serai pada 7 Dis yang dirakam dan dimuat naik ke TikTok, Sanusi berkata, segelintir pengundi merungut dalam talian tidak mendapat elaun mengundi.

Beliau kelihatan berang dengan pengundi yang meminta bayaran untuk pulang mengundi dan berkata, penyokong PH yang tinggal sejauh Australia dan Amerika Syarikat sanggup pulang mengundi dengan kos ditanggung sendiri.

“(Pengundi PH) tahu penting tanah ini untuk dikuasai.

“(Kita) kejar wakil rakyat, minta RM50, (ugut) tak mahu balik (mengundi) kalau tak diberi (wang). Memalukan!” katanya dalam klip video itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.