Usah cetus kegusaran rakyat, hentikan provokasi, kata Zahid

Usah cetus kegusaran rakyat, hentikan provokasi, kata Zahid

Pengerusi BN yang baru dilantik sebagai timbalan perdana menteri itu mengajak semua rakyat bermuafakat demi masa depan Malaysia yang lebih baik buat semua.

Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau yakin bahawa kerajaan perpaduan ini mampu menangani segala cabaran demi kepentingan negara serta rakyatnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Semua pihak harus menghentikan provokasi dan tindakan untuk mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat bagi membolehkan kerajaan perpaduan yang baru dibentuk mampu menempuh cabaran dihadapi negara.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau yakin bahawa kerajaan ini mampu menangani segala cabaran itu demi kepentingan negara serta rakyatnya.

“Namun dengan syarat semua pihak haruslah menghentikan provokasi dan tindakan untuk mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat.

“Usah diganggu ketenteraman dan perpaduan masyarakat serta usaha kerajaan untuk meningkatkan prestasi ekonomi negara selepas ini.

“Mari kita bersama sebagai rakyat Malaysia bermuafakat demi masa depan Malaysia yang lebih baik buat semua,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Pada sidang media khas di Putrajaya semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengumumkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memegang portfolio menteri kemajuan desa dan wilayah.

Dalam pada itu, Zahid melahirkan rasa syukur kerana diberi kepercayaan itu, sambil menyifatkannya sebagai satu tanggungjawab berat khususnya dalam suasana ekonomi dunia yang diramalkan amat mencabar tahun depan.

“Terima kasih diatas kepercayaan perdana menteri kepada saya dan rakan-rakan dalam BN untuk berada dalam Kabinet.

“Amanah ini bukanlah ghanimah (harta rampasan perang), namun satu taklif iaitu tanggungjawab yang sangat berat dalam suasana ekonomi dunia diramal amat mencabar tahun depan.

“Tahniah diucapkan kepada semua yang telah terpilih dan semoga gandingan semua pihak ini akan menghasilkan kejayaan luar biasa kepada negara.

“Kita hentikan ketidakstabilan politik yang telah banyak merosakkan serta merencatkan kemakmuran Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.