SPAN siasat pencemaran bau punca LRA Semenyih ditutup

SPAN siasat pencemaran bau punca LRA Semenyih ditutup

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara turut mengadakan lawatan tapak ke kawasan perindustrian berhampiran selain menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti bahan serta pelaku.

Petugas Lembaga Urus Air Selangor memeriksa air sungai berhampiran muka sauk Jenderam Hilir susulan pencemaran bau yang berlaku. (Gambar Facebook LUAS)
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memulakan siasatan berhubung insiden pelepasan efluen terlarang ke alur air yang dipercayai mengakibatkan pencemaran bau di Negeri Sembilan dan Selangor, Khamis dan Jumaat lepas.

SPAN dalam kenyataan hari ini berkata siasatan itu termasuk mengadakan lawatan tapak ke kawasan perindustrian berhampiran oleh SPAN dan agensi penguatkuasaan yang lain, selain menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti bahan serta pelaku.

Menurut suruhanjaya itu, insiden tersebut disiasat di bawah Seksyen 121 (1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu berkaitan pencemaran terhadap alur air atau sistem bekalan air yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali sekiranya pelaku didapati bersalah.

“SPAN ingin mengingatkan semua pihak agar cakna tentang keperluan memelihara sumber air dan memandang serius situasi pelepasan efluen ke alur air terutama melibatkan efluen terlarang sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab ini jika tidak dihentikan bakal mengakibatkan masalah berterusan kepada kemaslahatan masyarakat serta ekonomi secara amnya,” katanya.

Semalam, media melaporkan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas sementara susulan pencemaran bau sehingga empat ton yang dikesan di muka sauk Jenderam Hilir, Dengkil, dekat sini, masing-masing pada pukul 11 malam Khamis lepas dan 2 pagi semalam.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian dilapor berkata kedua-dua LRA itu bagaimanapun kembali beroperasi masing-masing pada pukul 1.30 pagi dan 8 pagi semalam.

Menurut Hee, Lembaga Urus Air Selangor telah menerima maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar Selangor berhubung pencemaran sungai berbuih dan bau seakan sabun di lokasi Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan yang disyaki berpunca daripada pelepasan premis kilang di kawasan perindustrian berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.