Pindaan Jenayah Syariah Terengganu ada kesan buruk, kata kumpulan hak asasi

Pindaan Jenayah Syariah Terengganu ada kesan buruk, kata kumpulan hak asasi

Sisters in Islam (SIS) dan Justice for Sisters (JFS) berkata, mereka bimbang dengan pindaan berkenaan memburukkan lagi kesan sedia ada terhadap wanita, golongan muda dan individu LGBTQ.

DUN Terengganu meluluskan pindaan empat jenayah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) bagi membendung amalan sihir, bomoh dan ‘pengkid’ di negeri itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi manusia menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk menjalankan penilaian kesan hak asasi manusia terhadap beberapa pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu.

Sisters in Islam (SIS) dan Justice for Sisters (JFS) berkata, mereka bimbang dengan pindaan berkenaan yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada Khamis lalu.

“Pindaan itu terhadap enakmen itu memburukkan lagi kesan sedia ada terhadap wanita, golongan muda, individu LGBTQ dan golongan lain,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu merujuk kepada beberapa pindaan enakmen jenayah syariah yang diluluskan DUN Terengganu termasuk Seksyen 29A (hamil atau melahirkan anak luar nikah).

“Menghukum mereka yang hamil luar nikah, sebagai contoh, bukan sahaja menyebabkan trauma tetapi menambah beban dan malu kepada mangsa serangan seksual,” katanya.

Dengan merujuk laporan pada 2018 oleh SIS dan Pusat Kajian dan Sumber Asia Pasifik untuk perkahwinan kanak-kanak, kumpulan itu menambah menjadikan ia (hamil luar nikah) sebagai satu jenayah menyebabkan peningkatan perkahwinan kanak-kanak, meneruskan putaran kemiskinan dan buta huruf dalam kalangan wanita muda.

SIS dan JFS berkata, Malaysia, sebagai sebahagian daripada Konvensyen Menghapuskan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw) dan Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC), mesti patuh untuk menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap semua wanita dan kanak-kanak.

Antara pindaan itu termasuklah Seksyen 33A (perempuan berlagak seperti lelaki), Seksyen 36A (persediaan melakukan liwat) dan Seksyen 3A (Amalan sihir, bomoh).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, isu perempuan menyerupai lelaki kini semakin membimbangkan.

Menurutnya, individu yang didapati bersalah di bawah seksyen itu boleh dihukum mengikut Peruntukan 356 sehingga tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Bagi seksyen melibatkan perbomohan dan sihir, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk memantau bagi memastikan masyarakat Islam tidak mendapatkan rawatan alternatif yang bercanggah hukum Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.