
Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu dalam kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan baginda menyelesaikan kemelut politik melalui pembentukan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas kepercayaan terhadapnya untuk memegang jawatan timbalan perdana menteri serta menteri perladangan dan komoditi.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga kepada Premier Sarawak, Abang Johari Openg selaku pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta seluruh kepimpinan parti, Ahli Parlimen Sarawak, ahli parti dan rakyat Sarawak di atas kepercayaan yang diberikan.
“Pelantikan ini adalah pengiktirafan kepada GPS dan blok Borneo, iaitu Sarawak dan
Sabah. Ia satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan istiqamah, ikhlas
dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.”
Bekas menteri kerja raya itu berkata, beliau akan berkhidmat kepada rakyat sebaik mungkin dan menyeru semua pihak mengetepikan kaum, agama serta kecenderungan politik untuk membina Malaysia yang stabil, maju dan makmur.
Bagi portfolio perladangan, Fadillah mengambil alih jawatan itu daripada Zuraida Kamaruddin yang berkhidmat dalam Jemaah Menteri pimpinan Ismail Sabri Yaakob sejak Ogos tahun lalu.
Fadillah turut menganggotai Jemaah Menteri Ismail sebagai menteri kanan dan menteri kerja raya. Beliau merupakan timbalan menteri sains, teknologi dan inovasi pada 2008.
Beliau ialah naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dan ketua whip Gabungan Parti Sarawak, selain menjadi Ahli Parlimen Petra Jaya sejak 2004.