Loji rawatan air tutup kerana pencemaran bau, kata exco Selangor

Loji rawatan air tutup kerana pencemaran bau, kata exco Selangor

Hee Loy Sian berkata operasi LRA Semenyih dan Bukit Tampoi ditutup sementara semalam tetapi kembali beroperasi pagi tadi.

Pencemaran bau disyaki berpunca dari Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan menyebabkan Loji Rawatan Air Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa henti tugas sementara. (Gambar fail)
SHAH ALAM:
Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas sementara susulan pencemaran bau sehingga empat ton yang dikesan di muka sauk Jenderam Hilir, Dengkil, dekat sini, 11 malam semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian, berkata susulan itu operasi LRA Semenyih telah dihentikan pada 11.15 malam, manakala LRA Bukit Tampoi pada 2 pagi tadi, namun kini kedua-duanya kembali beroperasi masing-masing pada 1.30 pagi dan 8 pagi.

Hee berkata terdahulu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berhubung pencemaran sungai berbuih di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan yang disyaki berpunca daripada pelepasan premis kilang di kawasan perindustrian berdekatan pada 8 malam.

“Siasatan segera LUAS mendapati keadaan Sungai Batang Benar masih berbuih dan bau seakan sabun dikesan di lokasi berkenaan.

“Pemantauan statik LUAS di hilir Sungai Semenyih dan Sungai Buah mendapati keadaan normal dan tiada bau dikesan, manakala pensampelan bau dilakukan LUAS di Kampung Rinching Hilir, Sungai Semenyih juga mencatatkan kosong ton,” katanya dalam kenyataan.

Hee berkata, pemantauan statik LUAS pada jarak 1.5km dari muka sauk Jenderam Hilir dipertingkatkan kepada setiap 30 minit bagi memantau rapi status pencemaran bau berkenaan dan bacaan kosong ton direkodkan secara konsisten dengan trend penurunan pencemaran bau di muka sauk itu dicatat bermula 12.30 tengah malam.

“Kedua-dua LRA beroperasi semula selepas bacaan bau mencatatkan kosong ton secara konsisten dengan tiga kali persampelan. Air Selangor memaklumkan gangguan bekalan air adalah minimum dan kawasan terbabit pulih sepenuhnya pada 9.30 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, Hee berkata kejadian pelepasan air berbuih di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan disyaki berlaku awal petang semalam ketika hujan lebat.

“LUAS sudah berhubung dengan JAS Selangor untuk tindakan susulan siasatan selanjutnya oleh JAS Negeri Sembilan berikutan lokasi insiden berada di luar kawasan negeri ini dan membabitkan kawasan perindustrian,” katanya menambah kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan Enakmen LUAS 1999.

“Kerajaan Selangor dan LUAS meminta semua prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri terutamanya, dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada LUAS untuk diambil tindakan segera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.