
Wan Rosdy mendedahkan Perikatan Nasional meletakkan beberapa syarat, antaranya, jawatan menteri besar, speaker Dewan Undangan Negeri, dan tiga ADUN lantikan diberi kepada PN, jawatan Exco dibahagi sama rata, dan beliau pula diberi jawatan menteri penuh bertaraf senator.
Beliau mendedahkan PN menawarkan jawatan menteri besar kepada BN selepas dimaklumkan PH tidak meletakkan sebarang syarat.
“Saya kira-kira dan lihat ini bukan hendak berbincang tetapi sudah ditetap dan ditentukan,” kata beliau menurut Bernama.
“Di DUN Pahang ada 42 kerusi. Kalau saya setuju, mereka akan ada 22 undi di DUN yang boleh menyebabkan saya tersingkir pada bila-bila masa. Jadi (jika ia berlaku) apa akan berlaku pada kerajaan negeri?
“Kita hendak tubuhkan kerajaan negeri kerana nak teruskan agenda kita untuk bekerja, teruskan kestabilan dan kemakmuran. Banyak agenda hendak dilakukan, bukan untuk ‘politicking’,” katanya, semasa berceramah di Pasar Besar Rompin sempena PRU15 DUN Tioman, semalam.
Dalam rundingan membentuk kerajaan negeri, PH diwakili Pengerusi PH Pahang, Amirudin Shari, manakala PN diwakili Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Wan Rosdy berkata BN Pahang dan pada ADUN gabungan itu sebulat suara bersetuju untuk bersama PH selepas dimaklumkan apa yang berlaku.
“Keputusan untuk bersama PH bukan keputusan saya seorang,” katanya.
Buat kali pertama di Pahang, BN dan PH berkongsi pentas pada ceramah pilihan raya. Turut berceramah di samping Wan Rosdy ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Mohamad dalam ceramahnya menyeru pengundi memilih calon BN, Mohd Johari Hussain. PH memberi laluan kepada gabungan itu selepas mengambil kira kerjasama di Pahang dan persekutuan.
Bekas menteri pertahanan itu mendedahkan pada awal kerjasama itu, beliau ditanya oleh Pengerusi BN, Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan bagaimana beliau akan berceramah dengan Umno selepas 44 tahun ‘menghentam’ mereka.
“Saya pun tidak tahu bagaimana nak bermula. Kita dalam politik boleh berubah kawan dan rakan, tetapi tidak akan mengubah matlamat dan dasar yang kita pegang. Kita akan ambil kritikan pembangkang (dan) teguran rakyat untuk membina negara yang lebih baik dengan menjunjung Perlembagaan yang ada,” katanya.
Mengulas keputusan memberi laluan kepada BN bagi pilihan raya itu, Mohamad berkata pihaknya tidak menerima sebarang tentangan daripada pimpinan negeri.
“Rungutan itu perkara biasa. Insyaallah kita boleh uruskan. Ini keputusan parti. Bila keputusan dibuat semua kena patuh. Kalau ada yang tak berpuas hati, saya ingat itu sementara,” katanya.
PRU15 DUN Tioman akan diadakan pada 7 Dis ini, setelah ditangguhkan ekoran kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.
Pilihan raya itu akan menyaksikan saingan lima penjuru antara Johari, Mohd Fadzli, Nor Idayu Hashim (PN), Osman A Bakar (Pejuang), dan Sulaiman Bakar (bebas).