MAHB rekod 8.3 juta pergerakan penumpang

MAHB rekod 8.3 juta pergerakan penumpang

Menurut MAHB, pemulihan trafik Malaysia memberi sumbangan besar terhadap peningkatan jumlah pergerakan penumpang itu.

MAHB berkata pengumuman China untuk melonggarkan langkah sekatan Covid-19 baru-baru ini memberikan keyakinan terhadap sektor penerbangan terutamanya di Asia Pasifik.
PETALING JAYA:
Pergerakan penumpang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi rangkaian lapangan terbangnya terus berkembang kukuh dengan 8.3 juta pergerakan direkodkan pada Oktober 2022, mencecah 71.1% daripada paras pada Oktober 2019.

MAHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata, pemulihan trafik memberi sumbangan besar kepada peningkatan jumlah pergerakan penumpang pada bulan tersebut, yang menyumbang 65% daripada jumlah keseluruhan.

Prestasi lapangan terbangan tempatan dipacu kelonggaran protokol penerbangan di seluruh rantau, disokong kekerapan tambahan syarikat penerbangan dan pengenalan laluan baharu.

Trafik Malaysia merekodkan lebih daripada lima juta penumpang bagi bulan kedua berturut-turut (5.4 juta pergerakan penumpang bagi Oktober 2022), mencecah 63.2% daripada paras pada Oktober 2019.

“Pergerakan penumpang antarabangsa merekodkan 2.1 juta penumpang, melepasi dua juta penumpang buat pertama kali sejak Mac 2020, manakala sektor domestik mencatatkan 3.3 juta pergerakan penumpang pada Oktober 2022,” kata MAHB.

Sementara itu, pergerakan penumpang di Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (SGIA), yang dikendali MAHB, berjumlah 2.9 juta pada Oktober 2022, menghampiri paras sebelum Covid-19 dan mencecah 92.6% daripada paras pada Oktober 2019.

Pergerakan penumpang antarabangsa berjumlah 1.6 juta dan kekal stabil di atas paras 1.5 juta bagi tempoh tiga bulan lepas.

“Pergerakan penumpang domestik mencatatkan 1.4 juta penumpang dan berada pada 74.2% daripada paras pada Oktober 2019,” kata pengendali.

Secara keseluruhannya, MAHB merekodkan 66.5 juta pergerakan penumpang dalam tempoh sepuluh bulan pertama 2022, mencecah 56.9% daripada paras pada tempoh yang sama pada 2019.

Syarikat itu berkata, pengumuman oleh China baru-baru ini untuk melonggarkan langkah-langkah sekatan Covid-19 memberi keyakinan terhadap sektor penerbangan terutama di Asia Pasifik, kerana ia menandakan kesediaan republik itu untuk kembali normal secara berperingkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.