
James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania berkata, kedudukan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kukuh dan tiada pihak yang mahu mencabarnya sekarang.
Anwar telah mengumpulkan gabungan, parti, dan wakil rakyat bebas untuk melepasi ambang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
“Saya tak rasa mana-mana pihak mahu politik menjadi tidak stabil lagi,” kata Chin kepada FMT, apabila ditanya sama ada Langkah Sheraton akan berulang.
Peristiwa itu pada 2020 itu menyaksikan beberapa Ahli Parlimen Bersatu dan PKR bergabung tenaga dengan Barisan Nasional (BN) dan PAS untuk menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Langkah Sheraton disebut semula di media sosial susulan pertemuan antara beberapa pemimpin Umno dan PAS baru-baru ini.
Chin percaya isu politik yang mungkin mencetuskan satu lagi Langkah Sheraton akan muncul hanya pada tahun depan, apabila DUN Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu dibubarkan, membuka laluan untuk PRN.
Katanya, keputusan PRN akan “mengesahkan gabungan mana yang paling berkuasa”.
Seorang lagi penganalisis, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, tidak menolak kemungkinan berulangnya Langkah Sheraton walaupun kedudukan Anwar kelihatan terjamin.
Ia boleh berlaku jika satu blok dalam pakatan pemerintah sanggup untuk melaksanakannya, katanya.
“Apabila (Langkah Sheraton) berlaku pada Februari 2020, Dr Mahathir Mohamad tidak meletak jawatan perdana menteri. Beliau hanya meletak jawatan pada hari ketiga selepasnya.”