
Exco Kesihatan Awam Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata majoriti kes Covid-19 dikesan membabitkan kategori dua dengan 95%, manakala 4.5% lagi daripada kategori tiga, empat dan lima.
“Secara purata, kes Covid-19 yang didaftarkan di Selangor adalah sekitar 1,000-2,000 kes sehari bermula minggu epid 35 sehingga minggu epid 46,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Saari Sungib (PH- Hulu Kelang) berhubung tahap kawalan terhadap penularan Covid-19 sepanjang 2022, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Dalam pada itu, Siti Mariah menjelaskan, purata kes kematian di Selangor akibat Covid-19 sebanyak enam kes seminggu.
“Sebanyak 11 kematian pula telah dicatatkan pada minggu epid 46 berakhir 19 Nov 2022.
“Dari aspek kadar kematian secara keseluruhan pula, Selangor telah mencatatkan sejumlah 10,911 iaitu 0.7% ‘Case-Fatality-Rate’.
“Bagaimanapun, untuk tahun 2022, sejak minggu epid ke-3 yang lalu, kadar CFR ini telah menurun ke angka 0.1%. Data-data ini menunjukkan tahap kawalan bagi Covid-19 di Selangor kini adalah baik dan memuaskan,” katanya.
Tambahnya, penularan Covid-19 di Selangor terkawal berikutan peratusan kadar vaksinasi termasuk pengambilan dos penggalak yang tinggi, melebihi 90% daripada jumlah penduduk.
“Fasiliti kesihatan awam yang mampu menampung kes-kes berkategori tiga, empat dan lima. Aktiviti pendidikan kesihatan berterusan yang dijalankan bagi mengingatkan orang awam tentang TRIIS (Test, Report, Inform, Isolate, Seek) dan kepentingan menjaga kesihatan kendiri,” katanya.
Katanya, aktiviti promosi bagi menggalakkan masyarakat awam mengambil vaksin penggalak kedua perlu diteruskan.
“Vaksin penggalak kedua perlu diambil khususnya golongan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik dan ibu-ibu mengandung.
“Ini kerana, kemunculan varian baru sub-omicron XBB telah menunjukkan peningkatan terhadap kadar kebolehjangkitan walaupun kadar kematian yang disebabkan oleh varian baharu ini masih kekal rendah,” katanya.