Sabah peruntuk RM134.59 juta tingkatkan sektor pelancongan, kata Hajiji

Sabah peruntuk RM134.59 juta tingkatkan sektor pelancongan, kata Hajiji

Ketua Menteri Hajiji Noor berharap peruntukan itu akan mengurangkan kesan wabak itu terhadap industri pelancongan dan memastikan pembangunannya yang sihat.

Hajiji Noor berkata pelancongan Sabah merupakan sektor yang paling teruk terjejas sejak dua tahun lalu. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan RM134.59 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dalam usaha memulihkan dan membangunkan sektor pelancongan di negeri itu.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, peruntukan yang dimasukkan dalam belanjawan tahun hadapan itu merangkumi usaha menaik taraf kemudahan pelancongan dan pembangunan modal insan bagi Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT) selain penubuhan Biro Konvensyen Sabah (SCB) yang akan beroperasi tahun depan.

“SCB akan mempercepatkan pertumbuhan industri pelancongan melalui acara perniagaan berasaskan pelancongan dalam menjadikan Sabah sebagai destinasi pilihan untuk mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran/acara bagi menjana aktiviti ekonomi sekali gus memberi faedah kepada hospitaliti, logistik, penerbangan dan lain-lain sektor berkaitan,” katanya dalam ucapan pembukaan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2022.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Menteri Kewangan II Sabah Masidi Manjun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Menurut Hajiji, persidangan bertemakan Tourism Futures Reimagined diadakan tepat pada masa.

“Sejak pembukaan semula sempadan pada 1 April lalu, Malaysia dan Sabah sentiasa berusaha untuk mempercepatkan pertumbuhan dan pembangunan terutamanya dalam memajukan sektor pelancongan.

“Saya gembira mengetahui bahawa penyertaan pada persidangan ini akan menyatukan ramai pihak dalam menangani masa depan pelancongan dan strategi memacu pemulihan serta daya tahan pelancongan selepas pandemik,” katanya.

Menurut Hajiji, walaupun pelancongan Sabah adalah sektor paling teruk terjejas sejak dua tahun lalu, kerajaan negeri tidak pernah berputus asa dalam menguruskan cabaran itu.

“Kerajaan negeri mengeluarkan bajet terbaik untuk mengurangkan impak dan memastikan pembangunan sihat industri pelancongan kita memandangkan pelancongan menjana pendapatan terbesar pada pasca pandemik,” katanya.

WTC 2022 adalah anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dengan kerjasama Pertubuhan Pelancongan Dunia dan kerajaan Sabah bermula hari ini hingga 30 Nov.

Pada edisi keenam, persidangan tahun ini mengumpulkan 1,000 delegasi daripada lebih 60 negara untuk menyambung dan menilai semula pemulihan pelancongan selepas pandemik di seluruh dunia.

Persidangan turut menampilkan hampir 30 pakar terdiri daripada penggubal dasar, peneraju industri dan ahli akademik terkemuka dalam menghasilkan pemikiran tentang masa depan pelancongan selain merangka strategi memacu pemulihan serta daya tahan industri itu dalam era pasca pandemik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.