
Ditubuhkan sejak 2011 di kampus utamanya di Gombak sebelum diperluas ke Kuantan dan Pagoh tujuh tahun kemudian, pusat itu bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam melaksanakan pelbagai inisiatif.
Program di pusat itu seiring aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025) untuk melahirkan pelajar seimbang dan menyeluruh. Ia dijangka menerajui dalam mencipta peluang pekerjaan menerusi kerjasama dan sokongan pelbagai agensi.
Program keusahawanan di UIAM juga selari dengan Dasar Keusahawanan Kebangsaan 2030 bertujuan mentransformasi Malaysia ke arah negara keusahawanan menjelang 2030.

Ekosistem Keusahawanan di UIAM
Ketika ini, elemen keusahawanan diterapkan dalam 84 kursus, selain ilmu keusahawanan juga boleh diperolehi melalui aktiviti kokurikulum.
Selain latihan, bengkel dan aktiviti, UIAM juga menyediakan ekosistem yang kondusif untuk pelajar bergelar usahawan. Antara kemudahan disediakan termasuk kiosk, kedai serbaneka K-Shoppe dan kedai koperasi siswa.
Pelajar juga perlu mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memastikan mereka mematuhi tingkah laku perniagaan dan didaftarkan secara sah.
Impak dan pencapaian keusahawanan di UIAM
Inisiatif keusahawanan di UIAM telah memberi impak positif kepada pelajar dan kakitangannya. Contohnya, penyertaan meningkat dari tahun ke tahun dan EDC menjalankan beberapa program berimpak tinggi di peringkat universiti dan kebangsaan.
Ketika ini, pelajar menggabungkan pemasaran digital dan e-dagang dalam aktiviti keusahawanan mereka.
Terdapat juga peningkatan dalam rangkaian dan perkongsian pintar melalui program keusahawanan, apabila EDC bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), SSM dan banyak lagi.

Memorandum Persefahaman (MoU) juga dimeterai bersama Bank Islam Malaysia Bhd dan SME Corp.
Latihan dan bengkel setiap semester di EDC menyediakan maklumat dan pengetahuan komprehensif yang membolehkan pelajar menghadapi perubahan dan intervensi pembangunan sesuai.
Hasilnya, jumlah keseluruhan mahasiswa yang terlibat dalam aktiviti keusahawanan sepanjang pengajian pada 2020 adalah seramai 1,580 orang dan meningkat kepada 2,972 pada tahun berikutnya.
Selain inisiatif meningkatkan pengetahuan kakitangan, pusat ini juga menyediakan persekitaran keusahawanan yang mesra kampus, yang mana pelajar juga berpeluang meningkatkan kemahiran insaniah mereka.
Usaha ini membantu melahirkan pelajar mempunyai kemahiran keusahawanan seimbang dan holistik.
Dengan pemikiran mencipta peluang pekerjaan, mereka boleh merangka model perniagaan dan menggunakan platform digital bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.