PN Perak nafi dakwaan cuba ‘curi’ 4 ADUN BN

PN Perak nafi dakwaan cuba ‘curi’ 4 ADUN BN

Kenyataan Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad bahawa beliau terpaksa segera membentuk kerajaan negeri bersama PH selepas PN cuba 'mencuri' empat ADUN BN adalah tidak benar serta tidak berasaskan fakta.

Setiausaha PN Perak Zainol Fadzi Paharuddin berkata, tuduhan bahawa PN cuba beli empat ADUN BN adalah tidak berasas dan tidak benar.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) Perak menafikan dakwaan gabungan tu cuba ‘membeli’ empat ADUN Barisan Nasional (BN) bagi memastikan PN menubuhkan kerajaan negeri di Perak.

Setiausahanya, Zainol Fadzi Paharuddin berkata, kenyataan Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad bahawa beliau terpaksa segera membentuk kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan (PH) selepas PN cuba ‘mencuri’ empat ADUN BN adalah tidak benar serta tidak berasaskan fakta.

“Ia tuduhan yang tidak berasas. Saya tidak pernah memberi atau menawarkan mahupun nak beli ADUN BN, janganlah membuat tuduhan begitu.

“Saya sendiri tidak pernah hubungi mana-mana ADUN BN sehinggalah beliau (Saarani) mengangkat sumpah pada 22 November lalu dan saya sendiri jumpa beliau pada jam 3 pagi pada 20 November untuk bertanyakan kerjasama bersama, itu sahaja,” katanya lapor Astro Awani.

Semalam, Saarani mendakwa terdapat cubaan ‘mencuri’ ADUN BN, malah beliau dimaklumkan kononnya ada ejen PN menelefon dan menghantar mesej kepada ADUN BN supaya keluar parti dan menyertai mereka sama seperti yang berlaku pada 2018.

Katanya, tindakan bergabung dengan PH perlu kerana beliau tidak mahu senario sama seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berulang, di mana dua ADUN BN ketika itu iaitu Zainol sendiri dan Nolee Ashilin Mohamed Radzi ‘dicuri’ untuk membentuk kerajaan negeri.

Zainol yang juga Setiausaha Bersatu Perak berkata, beliau ada menghubungi dua sahabatnya yang merupakan ADUN BN untuk bertanyakan adakah mereka dilantik menjadi Exco ataupun tidak.

“Memang saya ada menelefon mereka pada 22 Nov lalu namun tidak pula arah sesiapa atau ada menghantar ejen seperti yang didakwa, apatah lagi kami di PN meminta mereka keluar parti kerana semuanya saya kenal dan bersahabat baik.

“Saya faham tekanan yang beliau hadapi disebabkan keputusan yang beliau ambil cuma dalam kes ini tidak timbul isu cubaan membeli ADUN BN kerana saya sendiri pernah menandatangani surat akuan (SD) menyokong Saarani menjadi menteri besar oleh wakil BN sebelum ini… begitu juga ketika Mei 2018 menyokong ADUN Chenderiang (Ahmad Faizal Azumu) menjadi menteri besar, ” katanya.

Beliau turut menafikan PN ada meminta atau menghubungi wakil rakyat BN membuat SD untuk menyokongnya menubuhkan kerajaan negeri atau apa jua niat sekalipun ke arah itu.

“Niat saya sewaktu temukan Saraani dengan Ahmad Faizal selaku Pengerusi PN Perak adalah untuk melihat gabungan PN dan BN menubuhkan Kerajaan Negeri Perak, itu sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.