Warisan bantu kempen PH di Padang Serai

Warisan bantu kempen PH di Padang Serai

Ketua Warisan Kedah berkata partinya mahu memberikan 'hadiah' kepada Anwar Ibrahim dengan membantu PH kembali menyandang kerusi itu.

Warisan Kedah berkata keputusan membantu Pakatan Harapan pada pilihan raya Parlimen Padang Serai selaras keputusan presidennya menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Warisan Kedah mengarahkan jenteranya membantu calon Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya di Parlimen Padang Serai, kata ketuanya, Fadzil Hanafi.

Katanya, kerjasama itu bagi membolehkan kemenangan dapat “dihadiahkan” kepada Anwar Ibrahim yang baharu dilantik sebagai perdana menteri ke-10.

“Selaras dengan kesediaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyokong kerajaan perpaduan atas titah Yang di-Pertuan Agong, maka jentera parti di Kedah turut berkempen dan akan memberi sokongan untuk memastikan kemenangan calon PH daripada PKR,” lapor Utusan Malaysia.

Khamis lalu, Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua, berkata mereka memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya Parlimen Padang Serai dan keputusan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Semasa proses penamaan calon yang dilakukan semula pada 26 Nov, calon Warisan, Mohd Bakhri Hashim atau mana-mana wakil daripada parti itu tidak hadir ke pusat penamaan calon di Dewan Kompleks Sukan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Bagaimanapun, perkara itu tidak menjadi masalah susulan penyertaan Bakhri sudah disahkan melalui proses penamaan 5 Nov, sebelum proses pengundian ditangguhkan akibat kematian calon PH.

Fadzil berkata, kerajaan di bawah pimpinan Anwar sepatutnya diberi sokongan oleh semua pihak terutama orang Melayu dan Islam.

Beliau berkata, pendirian berkenaan juga selaras dengan manifesto Warisan Kedah yang mahu melahirkan perpaduan dan kesatuan ummah.

“Saranan umat Islam bersatu merupakan tuntutan. Setiap minggu menerusi khutbah Jumaat, mimbar akan berpesan bahawa ‘berpegang teguhlah kamu pada tali Allah (Islam) dan jangan berpecah belah’,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.