
Pengerusi BN berkata, dengan undi percaya itu keabsahan perdana menteri dimuktamadkan dan pihak yang cuba mempertikaikannya akan senyap.
“Walaupun ada pihak mengatakan ini langkah berisiko perdana menteri baharu, namun inilah proses demokrasi yang perlu dilalui.
“BN akan terus menyokong penuh sebagai tanda menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong pembentukan kerajaan baharu ini,” katanya di Facebook.
Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 selepas mendapat sokongan BN dan blok parti dari Borneo untuk membentuk kerajaan perpaduan sekali gus menamatkan krisis politik selepas tiada parti mendapat majoriti mudah pada PRU15.
Dalam sidang media pertamanya sebagai perdana menteri, Anwar berkata beliau akan “menguji” majoriti yang dimilikinya dengan mencadangkan usul percaya di Dewan Rakyat.
Beliau juga menyatakan kerajaan baharu itu akan membentangkan semula bajet yang disemak dalam sebulan atau lebih.