Anwar boleh selesai konflik selatan Thai, kata penganalisis

Anwar boleh selesai konflik selatan Thai, kata penganalisis

Wartawan veteran Thailand berpendapat buat kali pertama Malaysia mempunyai pemimpin yang mempunyai pandangan sejagat dan terkenal dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Penganalisis politik Thailand berpendapat kepimpinan Anwar Ibrahim boleh membawa keamanan di wilayah selatan negara itu yang berdepan gerakan pemisah. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Perdana menteri yang baru dilantik, Anwar Ibrahim mesti bekerjasama dengan rakan sejawatannya di Thailand secepat mungkin untuk menyelesaikan konflik di selatan negara jiran itu, kata wartawan veteran Thailand yang mengulas mengenai hal ehwal serantau.

Kavi Chongkittavorn berkata, tidak banyak kemajuan dicapai untuk menamatkan penderitaan penduduk yang tinggal di wilayah di selatan Thailand yang bergolak sejak lebih 10 tahun lalu, lapor Bernama.

Satun, Trang, Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla bersempadanan dengan Malaysia serta majoriti penduduknya beragama Islam.

Wilayah itu berdepan gerakan pemisah yang mencetuskan keganasan seperti pembunuhan dan serangan bom sejak lebih 10 tahun lalu.

Kavi berkata, kedua-dua pihak (Bangkok dan Putrajaya) gagal menunjukkan komitmen, mungkin berpunca daripada masalah politik dalaman, untuk mengwujudkan perjanjian damai yang efektif bagi membawa keamanan di kawasan sempadan.

“Kini masanya telah tiba. Buat kali pertama, Malaysia mempunyai pemimpin yang mempunyai pandangan sejagat dan terkenal dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

“Diharapkan kepimpinan Anwar akan mengukuhkan lagi profil Asia,” katanya di satu ruang pendapat diterbitkan dalam laman sesawang berita Inggeris dalam talian Perkhidmatan Penyiaran Awam Thai (PBS Thai).

Kavi berkata pelantikan Anwar sebagai perdana menteri seharusnya menjadi “magnet” Malaysia untuk menjana imej positif bagi meningkatkan keyakinan perniagaan di negara ini.

“Barat akan gembira dengan kerajaan baharu di Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

Kavi berkata tanda-tanda positif sudah muncul selepas Anwar dinamakan sebagai perdana menteri memandangkan indeks saham Malaysia melantun dan ringgit melonjak.

“Halangan kedua juga tidak kurang pentingnya iaitu Anwar mesti memenangi hati dan fikiran rakyat termasuk orang Melayu konservatif. Mereka akan menjadi kumpulan penting,” katanya.

Kavi ialah felo kanan di Institut Keselamatan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Chulalongkorn dan menjadi wartawan selama lebih tiga dekad selain menyumbang pendapat untuk media Thailand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.