Abang selamatkan adik dalam kebakaran dianugerah pingat Hang Tuah

Abang selamatkan adik dalam kebakaran dianugerah pingat Hang Tuah

Penganugerahan itu bagi mengiktiraf kanak-kanak yang menunjukkan keberanian dalam membantu menyelamatkan nyawa manusia.

Muhammad Danish Rayqal Mohd Firdaus menerima anugerah itu yang disampaikan isteri Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pelajar Tahun 2 Sekolah Kebangsaan Taman Kampung Melayu, Kluang, Johor, Muhammad Danish Rayqal Mohd Firdaus yang menyelamatkan dua adiknya dalam kebakaran 29 Jun lalu dianugerahkan pingat Hang Tuah.

Anugerah itu disampaikan isteri Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan Tahun 2022 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hari ini.

Penganugerahan itu bagi mengiktiraf kanak-kanak yang menunjukkan keberanian dalam membantu menyelamatkan nyawa manusia, harta benda atau tindakan dengan elemen keberanian dan luar biasa sewaktu kecemasan, bencana, kemalangan atau darurat.

Menurut JKM, Danish Rayqal menyelamatkan dua adiknya iaitu Muhamad Darish Rizqe, 6, dan Nurdiya Delisha, 4, dengan mengendong mereka ke ruang dapur rumah sambil meminta tolong.

Tiga kanak-kanak itu kemudian berjaya diselamatkan jiran mereka.

Danish Rayqal ketika ditemui berkata dia tidak ingat sepenuhnya kejadian itu namun gembira kerana berjaya menyelamatkan adik-adiknya.

“Tak tahu nak buat apa-apa (ketika kejadian) tetapi pergi ke belakang (rumah) minta tolong orang… jiran tolong,” katanya yang gembira menerima anugerah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.