
Ia susulan hantaran tular di Twitter mengenai satu pertemuan antara beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PAS yang dikatakan berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort dari 10.30 pagi hingga tengah hari semalam.
Seorang pengguna Twitter, @sinkingboatcapt berkata, dia masih mengalami “sindrom tekanan pra-trauma” daripada Langkah Sheraton. Wanita itu juga bimbang ia akan berlaku lagi.
“Kita tidak boleh terlalu selesa dan gembira, kerana hingga kini saya tahu Muhyiddin Yassin masih merancang di belakang pintu,” katanya di Twitter.
@ToastyAyy pula menyiar semula hantaran mengenai pertemuan itu dan berkata: “Langkah Sheraton 2.0? Mengapa ahli politik ini tidak memikirkan mengenai rakyat dan menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat? Apa yang mereka fikir hanyalah diri mereka sendiri!”.
Seorang lagi pengguna, @_nhalinaa bimbang satu lagi Langkah Sheraton akan berlaku.
“Saya sangat bimbang Langkah Sheraton berlaku sekali lagi. Mengapa ahli politik ini tidak boleh menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah?”.
@22blueblouse berkata, “Langkah Sheraton 2.0. PN dan PAS tidak hirau pasal negara. Mereka hanya mahukan kuasa. Memualkan,”.
Antara ahli politik yang didakwa hadir dalam pertemuan yang tular di Twitter itu termasuk naib presiden Umno yang juga bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob, bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Presiden MCA Wee Ka Siong dan setiausaha akhbar Annuar, Tun Faisal Ismail Aziz.
Bagaimanapun, Wee menafikan spekulasi yang beliau terbabit dalam pertemuan itu. Wee berkata, beliau ke resort itu untuk satu mesyuarat dan menjamu selera bersama dua ahli perniagaan.
Ismail pula berkata, dia hadir hanya untuk bertemu rakan-rakannya dan spekulasi itu hanya mahu memburukkan imejnya.
Langkah Sheraton merujuk kepada satu gerakan politik yang berlaku pada Februari 2020, apabila sekumpulan Ahli Parlimen PKR bersama Bersatu, BN dan PAS bergabung menumbangkan kerajaan PH yang berkuasa selama 22 bulan.