
Bagaimanapun, katanya, setakat ini belum ada keputusan dibuat walaupun sudah dibincangkan di peringkat Majlis Presiden PH.
“Mengambil kira situasi politik semasa di peringkat pusat dan DUN Pahang, mungkin selepas ini ada perbincangan lanjut tentang perundingan kerusi Padang Serai dan DUN Tioman.
“Kita melihat Padang Serai ini merupakan satu kerusi yang penting untuk menambah bilangan kita di peringkat Parlimen, namun DUN Tioman juga tidak kurang pentingnya,” katanya menurut Bernama.
Mohd Fadzli berkata demikian semasa ditanya mengenai ketidakhadiran beliau pada hari penamaan calon DUN Tioman di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis, sebaliknya hanya menghantar wakil bagi mencabut undi untuk menentukan kedudukan pada kertas undi.
Ketiadaan Mohd Fadzli menimbulkan spekulasi, kerana PH Pahang memberi sokongan kepada BN negeri untuk membentuk kerajaan negeri, yang kini tergantung selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.
Keputusan PRU15 menyaksikan BN memperoleh 16 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 dan lapan kerusi dimenangi PH.
Walaupun bersedia memberi laluan, Mohd Fadzli mahu jaminan daripada calon BN bahawa beliau akan menyelesaikan masalah dihadapi penduduk DUN Tioman, terutamanya masalah air, tanah dan infrastruktur di situ.
Mohd Fadzli bagaimanapun, mengakui masih belum bertemu Mohd Johari, yang merupakan penyandang kerusi DUN itu, untuk berbincang berhubung perkara itu.
PRU15 DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Dis ini, ekoran kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.
Selain Mohd Fadzli dan Mohd Johari, turut bersaing pada pilihan raya itu ialah calon PN Nor Idayu Hashim, Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).
Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.