
Pada sidang media, Anwar berkata, beliau telah meminta agensi kerajaan berkaitan mengadakan perbincangan secara terperinci dan mengambil tindakan segera bagi meringankan beban kenaikan harga yang ditanggung rakyat.
Beliau juga telah meminta satu mesyuarat khas diadakan dengan agensi berkaitan selewat-lewatnya pada Isnin bagi membincangkan perkara itu.
“Walaupun kita positif dengan kekuatan ringgit sekarang, harga barang mencengkam dan menekan kehidupan rakyat.
“Saya akan segera bertemu dengan agensi berkaitan, kalau mereka tak keberatan, saya mohon adakan pertemuan khas hujung minggu ini ataupun selewat-lewatnya Isnin,” katanya.
Semalam, Anwar dilantik sebagai perdana menteri Malaysia yang ke-10 susulan pertemuan Yang di-Pertuan Agong dengan Majlis Raja-Raja.
Dalam sidang media pertamanya, beliau menegaskan bahawa kerajaannya akan fokus kepada ekonomi negara dan akan melakukan yang terbaik bagi memulihkannya.