Sabah bentang Belanjawan 2023 dengan lebihan RM130.47 juta

Sabah bentang Belanjawan 2023 dengan lebihan RM130.47 juta

Ketua Menterinya, Hajiji Noor berkata, kutipan hasil negeri dianggarkan RM5.268 bilion berbanding perbelanjaan RM5.138 bilion tahun depan.

Hajiji Noor membentangkan Belanjawan Sabah 2023 pada sidang Dewan Undangan Negeri di Kota Kinabalu hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kerajaan Sabah membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan “Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera” dengan anggaran lebihan RM130.47 juta.

Ketua Menteri, Hajiji Noor ketika membentangkan belanjawan itu pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini berkata, kutipan hasil negeri tahun depan dianggarkan RM5.268 bilion berbanding perbelanjaan RM5.138 bilion tahun depan.

“Tumpuan utama Belanjawan 2023 untuk memacu dan memperkasa ekonomi negeri demi memastikan pembangunan Sabah dan kesejahteraan rakyat secara inklusif serta berterusan,” katanya semasa membentangkan belanjawan itu.

Menteri kewangan Sabah itu berkata, kerajaan negeri mengunjurkan hasil negeri tahun ini mencapai RM5.988 bilion, antara lain kerana impak positif komoditi minyak mentah dan minyak sawit, malah boleh mencapai RM6 bilion sekiranya harga itu kekal pada paras tinggi.

Katanya, kerajaan negeri mengunjurkan jumlah hasil secara konservatif kerana harga komoditi tidak menentu, iaitu RM5.268 bilion, dengan RM2.405 billion daripada hasil cukai, hasil bukan cukai (RM2.311 bilion) dan terimaan bukan hasil (RM553.17 juta).

Hajiji berkata, daripada jumlah perbelanjaan, RM792.28 juta disyorkan untuk emolumen; perbelanjaan berulang pula RM1.977 bilion, antara lain melibatkan perkhidmatan bekalan air dan pembetungan, pengurusan banjir, bantuan anak yatim dan miskin, pembangunan masjid, surau dan sekolah agama.

Katanya, perbelanjaan khas sebanyak RM2.369 bilion, antara lain melibatkan penyelenggaraan infrastruktur; bantuan khas nelayan, petani dan penternak; pemberian sekolah dan badan keagamaan bukan Islam; serta bantuan badan berkanun, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

“Bagi membangunkan infrastruktur rakyat, RM1.16 bilion diperuntuk membangunkan jalan raya, komunikasi, sistem pengangkutan, bekalan air dan pembetungan; RM360.19 juta pula bagi pembangunan impak tinggi jalan raya, jambatan, cerun, bangunan dan pengurusan trafik serta keselamatan jalan raya.

“Sebanyak RM618.88 juta pula diperuntuk melaksanakan kerja pengurusan, pentadbiran, penyenggaraan dan operasi bekalan air bagi memastikan bekalan selamat dan berterusan dari segi kuantiti dan kualiti tercapai.”

Beliau berkata, RM212.63 juta diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar, antaranya melibatkan program pembasmian kemiskinan, membaiki jalan penghubung antara kampung dan pekan, bekalan elektrik serta air di luar bandar.

“Kerajaan juga peka terhadap keluhan golongan miskin dan miskin tegar yang tidak mampu memiliki rumah sendiri, justeru kerajaan memperuntukkan RM120 juta bagi membina 1,500 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya di seluruh Sabah, khas untuk golongan sasar ini.”

Bagi melestari alam sekitar, katanya, Jabatan Perhutanan Sabah dan Pusat Biodiversiti Sabah diperuntukkan RM118.88 juta, antara lain bagi pembangunan pelancongan alam semulajadi, serta RM6.92 juta kepada Jabatan Perlindungan Alam Sekitar melaksanakan strategi, program dan pelan tindakan selaras elemen utama kelestarian hijau.

Beliau berkata, RM26.41 juta juga diperuntukkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk operasi, aktiviti penguatkuasaan dan pelaksanaan program kesedaran serta perlindungan hidupan liar, juga mengurus mitigasi konflik hidupan liar dengan manusia.

Sementara itu, kerajaan negeri juga bersetuju memberi bantuan khas kewangan setengah bulan gaji dengan kadar minimum RM1,000 kepada 20,271 penjawat awam negeri yang akan dibayar pada Januari depan, selain bantuan khas Aidilfitri dan Kaamatan RM500 pada April depan.

“RM12.83 juta diperuntukkan kepada semua kementerian dan jabatan untuk program pembangunan sumber manusia, di samping peruntukan RM7.5 juta bagi pembiayaan biasiswa dan kos latihan pegawai kerajaan di dalam dan di luar negeri,” katanya.

Semua ADUN kerajaan turut diperuntukkan RM3 juta dengan agihan RM2.5 juta untuk projek kecil dan RM500,000 untuk bantuan kepada rakyat menerusi program Sentuhan Kasih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.