PN main peranan semak dan imbang di Parlimen, kata Muhyiddin

PN main peranan semak dan imbang di Parlimen, kata Muhyiddin

Pengerusi Muhyiddin Yassin juga meminta penyokong PN terus cekal bersama gabungan itu.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin, mengumumkan gabungan itu akan memainkan peranan semak dan imbang di Parlimen.

“Bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya dalam kenyataan, sambil merakamkan tahniah kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas pelantikannya.

Perkembangan ini menyusuli kenyataan PAS pagi tadi, yang berkata ia akan membincangkan tawaran menyertai kerajaan perpaduan dengan parti-parti PN lain.

Dalam kenyatan berasingan, Setiausaha Agung Hamzah Zainuddin merakamkan terima kasih pimpinan PN kepada jentera yang bertungkus lumus untuk memenangkan gabungan itu pada PRU baru-baru ini.

Beliau meminta semua penyokong untuk terus cekal bersama PN “walau apa rintangan dan cabaran pasca PRU15”, dan mengingatkan bahawa keputusan pilihan raya menunjukkan jenama gabungan itu diterima baik golongan muda.

“Sokongan luar biasa rakyat kepada PN pada PRU15 membuktikan aspirasi perjuangan, jenama, dan hala tuju PN diterima baik oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya golongan muda.

PN memenangi 73 kerusi pada PRU15, dengan PAS meraih kerusi terbanyak iaitu sebanyak 41 kerusi, diikuti Bersatu di Malaysia Barat yang menawan 30 kerusi.

Bersatu di Sabah, yang merupakan salah satu komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menang empat kerusi.

Terkini, Anwar mengumumkan GRS menyertai kerajaan perpaduan pimpinannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.