Bersih sokong keputusan ‘risiko’ Anwar berdepan undi percaya

Bersih sokong keputusan ‘risiko’ Anwar berdepan undi percaya

Thomas Fann berkata usul undi percaya akan memuktamadkan sebarang kesangsian rakyat terhadap keabsahan kerajaan baharu.

Pengerusi Bersih Thomas Fann, berkata undi percaya akan mengukuhkan keabsahan Anwar Ibrahim mengetuai kerajaan baharu.
PETALING JAYA:
Kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih, mengalu-alukan langkah Anwar Ibrahim membuktikan sokongan majoritinya di Parlimen.

Pengerusinya, Thomas Fann menyifatkan ia merupakan tindakan duluan yang perlu dilaksanakan oleh mana-mana perdana menteri susulan Langkah Sheraton, pada 2020, sehingga membawa kepada keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas hanya berkuasa selama 22 bulan di Putrajaya.

Katanya, usul percaya akan memuktamadkan sebarang kesangsian rakyat mengenai keabsahan kerajaan baharu pimpinan Anwar.

“Ia sangat penting memandangkan pemilihan atau pelantikan berjalan sengit, seperti mana yang kita saksikan sebelum ini,” katanya kepada FMT.

Beliau juga berkata, membentangkan usul percaya mungkin menjadi langkah berisiko kepada Anwar, mengambil kira pengerusi PH itu perlu bergantung kepada parti di luar gabungannya demi membuktikan beliau mempunyai majoriti dalam kerajaan perpaduan.

“Bagaimanapun, saya percaya Anwar sudah pun menandatangani perjanjian gabungan atau perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan blok lain,” katanya.

Pada sidang media pertamanya, semalam, Anwar berkata, usul undi percaya akan menjadi agenda pertama apabila Parlimen kembali bersidang, pada 19 Dis.

Dalam pada itu, penganalisis Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM), berkata Anwar mungkin tidak berdepan masalah mendapat undi percaya berhubung pelantikannya sebagai perdana menteri kerana ia telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

“Anwar mempunyai kelebihan dan akan mendapat sokongan semua gabungan yang menyokong PH, termasuk juga pihak yang menyerahkan kepada Agong memutuskan pelantikan perdana menteri,” katanya sambil menambah mereka tidak mungkin akan membelakangkan pelantikan jawatan itu yang diputuskan baginda.

Katanya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin akan menerima “tamparan besar” sekiranya Anwar berjaya dalam usul percaya.

“Ini akan meletakkan pengerusi PN itu dalam kedudukan tidak baik yang mana dilihat tidak mampu bergerak ke depan sehingga dilihat seperti mempertikaikan keputusan Agong,” katanya.

Semalam, Istana Negara berkata, baginda memperkenankan melantik Anwar sebagai perdana menteri susulan pertemuan bersama Majlis Raja-Raja.

Terdahulu, Agong ada mencadangkan kepada PH dan PN supaya membentuk kerajaan perpaduan memandangkan Parlimen tergantung selepas pilihan raya umum, namun Muhyiddin berkata, gabungan diketuainya menolak kerjasama dengan PH.

Pada sidang media di Ibu Pejabat PN, Muhyiddin menegaskan beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk mengetuai kerajaan.

Sambil mendesak Anwar membuktikan sokongan majoritinya dalam kalangan Ahli Parlimen, Muhyiddin mendakwa mempunyai akuan berkanun daripada 115 Ahli Parlimen yang menyokongnya bagi dilantik ke jawatan nombor satu kerajaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.