Selangor sebulat suara lulus Enakmen Anti Lompat Parti

Selangor sebulat suara lulus Enakmen Anti Lompat Parti

Menteri Besar, Amiruddin Shari berkata, enakmen itu akan memastikan keadaan politik terjamin dan pilihan rakyat lebih terjamin.

Usul berkaitan Enakmen Anti Lompat Parti itu dibahas 15 ADUN sebelum diluluskan DUN Selangor hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri (pindaan) 2022 berkaitan Enakmen Anti Lompat Parti.

Speaker DUN, Ng Suee Lim berkata, kelulusan itu akan menjamin wakil rakyat bertanggungjawab terhadap mandat diberikan rakyat dan lebih setia terhadap parti masing-masing

“Rakyat memilih, jadi mereka perlu perjuangkan demi rakyat. Pada masa sama, enakmen ini menjamin kestabilan politik,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, usul itu dibawakan Menteri Besar, Amirudin Shari semalam dan dibahas lebih 15 ADUN sebelum diluluskan hari ini.

Ketika menggulung usul berkenaan, Amirudin berkata, enakmen itu diharap dapat memastikan suara rakyat tidak dipermainkan mana-mana wakil rakyat.

“Dengan adanya enakmen ini, saya percaya keadaan politik akan lebih terjamin, pilihan rakyat akan lebih terjamin.

“Individu yang dipilih oleh rakyat perlu bertanggungjawab dengan ruangan yang diberikan rakyat yang yakin dengan apa kita bawakan,” katanya.

Semalam, Amirudin membawa usul berkenaan sejajar akta yang dikuatkuasakan di Parlimen bagi menguatkan sistem demokrasi dan memastikan pentadbiran stabil.

Katanya, enakmen berkenaan juga memastikan wakil rakyat menjunjung amanah yang diberikan dan menghalang mana-mana pihak meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan negeri serta negara.

Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti berkuat kuasa Oktober lalu, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.