
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, surat peringatan sudah dikeluarkan kepada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) untuk mendapatkan maklum balas mereka berhubung projek itu, yang menghubungkan Persiaran Gurney di bahagian pulau dan Bagan Ajam di Butterworth.
“Tempoh kajian mengambil masa lama kerana ia melibatkan beberapa agensi swasta dan persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan ketua pembangkang, Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua).
“Kita juga menunggu ulasan bertulis daripada dua agensi penting bagi membolehkan kerajaan negeri membuat keputusan mengenai perlaksanaan projek berkenaan,” katanya merujuk SPPP dan PPSB.
Zairil berkata, kerajaan negeri dijangka membuat keputusan selepas mesyuarat dengan SPPP yang dijadualkan awal bulan depan dan mesyuarat itu dijangka yang terakhir sebelum keputusan dibuat.
Beliau berkata, penemuan awal kajian kebolehlaksanaan itu yang dibentangkan kepada kerajaan negeri April lalu, sudah diterima.
“Bagaimanapun, laporan akhir kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut hanya akan diterima setelah ulasan muktamad berkenaan pelan induk pembesaran Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) oleh SPPP dapat diperolehi secara rasmi.
“Buat masa ini, pihak SPPP belum memuktamadkan pelan induk pembesaran NBCT.”
Katanya, peralihan projek terowong bawah laut ke fasa reka bentuk tertakluk kepada penyepaduan reka bentuk terowong dengan pelan induk NBCT.
Beliau berkata garis masa untuk pelaksanaan projek itu akan bergantung kepada penyepaduan itu.
Sehingga kini, tiada sebarang bayaran dibuat untuk projek itu kerana laporan belum dimuktamadkan dan diterima kerajaan negeri, katanya.
“Setakat ini, kerajaan negeri hanya melaksanakan bayaran dalam bentuk secara tukar ganti tanah dengan nilai RM208.8 juta bagi pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci bagi projek jalan-jalan utama saja.”
Pada 11 Mac lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak membuat sebarang keputusan mengenai kajian kebolehlaksanaan yang dibentangkan di hadapan exco pada Februari lalu.
Kajian yang bermula Disember 2014 itu, sepatutnya siap pada 2016, tetapi ditangguhkan atas pelbagai sebab.
Kerajaan Pulau Pinang tidak menolak kemungkinan membina jambatan, bukannya terowong sebagai penghubung ketiga pulau itu ke tanah besar.
Terowong dasar laut sepanjang 6.5km dan tiga jalan baharu itu antara projek yang dicadangkan di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.
Pada 31 Mac lalu, SPPP dan PPSB menyambut baik cadangan kerajaan negeri membina terowong dasar laut sebagai sebahagian daripada PTMP.
Pengerusi SPPP, Tan Teik Cheng dipetik Bernama sebagai berkata, kedua-dua pihak mengalu-alukan projek itu, tetapi demi kepentingan negeri, keutamaan harus diberikan kepada pembangunan pelabuhan Pulau Pinang.