PN setuju cadangan Agong tubuh kerajaan perpaduan

PN setuju cadangan Agong tubuh kerajaan perpaduan

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata ini demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata ia susulan mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) berubah fikiran dengan berkata, Majlis Tertinggi gabungan itu bersetuju mempertimbangkan cadangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai pembentukan kerajaan perpaduan.

Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin berkata, ia demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, ini susulan mesyuarat Majlis Tertinggi PN hari ini untuk membincangkan pembentukan kerajaan perpaduan.

“Selaras dengan itu, mesyuarat bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang melibatkan perbincangan dengan parti-parti yang sehaluan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.” katanya dalam kenyataan.

Selasa lalu, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata, Agong menitahkan PN dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, PN menolaknya dan berpegang kepada pendirian tidak akan bekerjasama dengan PH.

Sebelum itu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, GPS kemudiannya berkata, terpulang kepada Agong untuk memutuskan siapa yang patut menjadi perdana menteri. GRS turut membuat kenyataan sama hari ini.

PN memenangi 73 kerusi Parlimen, manakala PH (82) dan Barisan Nasional (30).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.