Pemimpin politik ucap tahniah pada Anwar

Pemimpin politik ucap tahniah pada Anwar

Antara pemimpin yang mengucapkan tahniah kepada bakal perdana menteri ke-10 itu termasuk Lim Guan Eng dan Young Syefura Othman

Lim Guan Eng berpandangan Anwar Ibrahim individu paling sesuai menjadi perdana menteri, manakala Young Syefura Othman tidak sabar untuk pengerusi PH itu memimpin negara.
PETALING JAYA:
Pemimpin politik negara mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim susulan pengumuman Istana Negara berhubung pelantikannya sebagai perdana menteri ke-10.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata, Anwar sesuai memegang peranan itu dan mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas keputusan “bijaksana” baginda.

“Beliau pilihan rakyat. Saya percaya Anwar akan menjalankan tugasnya dan menegakkan Perlembagaan, menubuhkan kerajaan berjiwa rakyat untuk kepentingan semua,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman daripada DAP berkata, beliau gembira untuk Anwar.

“Saya juga gembira untuk PH dan tak sabar untuk Anwar memimpin agenda dan reformasi negara,” katanya kepada FMT.

Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, Anwar akan menjadi pemimpin kuat yang menyatukan negara, selepas kempen politik yang menyaksikan ucapan kebencian dimainkan.

“Beliau pemimpin kuat. Beliau menjanjikan pembaharuan dan saya percaya ia akan dilaksanakan.”

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran menerusi media sosial berkata, Anwar ialah pilihan rakyat untuk menerajui negara dalam hala tuju betul.

Presiden Muda dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengucapkan tahniah kepada Anwar dengan berkata, PH akan menjadikan Malaysia tempat lebih baik.

Dalam pada itu, Anwar menukar biografi dalam Twitternya kepada “Perdana Menteri Malaysia ke-10”.

Presiden PKR itu akan mengangkat sumpah pada 5 petang ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.