
Peguam Zeti memaklumkan pihak pendakwaan bahawa beliau demam dan muntah.
“Dia sedang MC (cuti sakit) dua hari. Kami akan berikan MC kemudian,” Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah.
Akram berkata, pihak pendakwaan mengatur bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah hadir di mahkamah esok.
Beliau berkata, seorang lagi saksi yang juga bekas pegawai bank BSI dan warga Singapura, Kevin Swampillai dijadualkan memberi keterangan bulan depan.
Hakim Collin Lawrence Sequerah meminta pihak pendakwaan memastikan Irwan hadir esok memandangkan peguam Shafee Abdullah berkata, pihak pembelaan hanya boleh menyoal balas Yu bulan depan.
Sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan mereka akan memanggil Zeti untuk memberi keterangan. Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram berkata, Zeti akan memberi butiran hubungan keluarganya dengan ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Tahun lalu, penulis blog Raja Petra Kamarudin mendakwa ahli keluarga Zeti, terutama suami dan anak lelakinya, menerima RM100 juta daripada Jho Low.
Beliau juga mendakwa ahli keluarganya menandatangani akuan berkanun yang mengaku mereka menerima berjuta-juta ringgit dalam akaun bank Singapura, dengan wang itu datang daripada sebuah syarikat dikaitkan dengan Jho Low.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang didepositkan ke akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan bersambung esok.