Dakwaan rebut jawatan MB, Annuar Zaini mohon maaf kepada Bersatu Perak

Dakwaan rebut jawatan MB, Annuar Zaini mohon maaf kepada Bersatu Perak

Ahli Dewan Negara itu sebelum ini dikatakan mendakwa PN di Perak berebut sesama sendiri jawatan tersebut sedangkan Sultan Perak mahukan kerajaan negeri ditubuhkan segera.

Mohd Annuar Zaini mengakui menulis perkara tidak sahih dalam kumpulan WhatsApp mengenai perkara itu sebelum menjadi tular. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ahli Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini memohon maaf kepada Bersatu Perak atas dakwaannya bahawa ADUN parti itu merebut jawatan menteri besar dengan PAS serta mahu keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

Beliau mengakui menulis perkara tidak sahih dalam kumpulan WhatsApp mengenai perkara itu yang kemudian menjadi tular.

“Kepada Dato Zainol Fadzi (Paharuddin), saya sangat mohon maaf kerana memasukkan elemen tidak sahih yang disampaikan kepada saya.

“Saya mohon maaf di atas kesilapan fakta tersebut,” kata beliau dalam mesej WhatsApp malam tadi, lapor Berita Harian.

Terdahulu, Zainol menafikan mana-mana ADUN Bersatu mengeluarkan kenyataan seperti didakwa.

Kenyataan yang menjadi tular itu menjatuhkan kredibiliti partinya, kata Setiausaha Bersatu Perak itu.

Dalam mesej WhatsApp yang tular itu, Annuar dikatakan mendakwa PN di Perak berebut sesama sendiri jawatan menteri besar sedangkan Sultan Nazrin Shah mahukan kerajaan Perak ditubuhkan segera sebelum tibanya musim banjir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.