
Sultan Abdullah akan meminta pendapat Majlis Raja-Raja mengenai kebuntuan yang berterusan dalam usaha membentuk kerajaan persekutuan, lapor The Star.
Mesyuarat itu dijangka diadakan pada 10.30 pagi esok.
Majlis Raja-Raja juga dijadualkan akan mengadakan mesyuarat, pada Isnin depan.
Kesemua 30 Ahli Parlimen diperintah sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini, susulan pertemuan bagida dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, hanya dua Ahli Parlimen BN hadir menghadap baginda setakat ini membabitkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan. Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir, yang bukan Ahli Parlimen juga hadir bersama.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga sudah mengadakan pertemuan dengan Agong, hari ini.
Terdahulu, GPS menyuarakan hasrat mereka untuk membentuk kerajaan dengan PN, BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Bagaimanapun, gabungan berkenaan, semalam, berkata mereka menyerahkan kepada kebijaksanaan Agong untuk memutuskan apa yang terbaik bagi rakyat.
Muhyiddin juga berkata, Agong ada mencadangkan supaya PN dan PH bekerjasama membentuk “kerajaan perpaduan”, namun ditolak PN. Dalam sidang media, semalam, beliau berkata, PN kekal dengan pendirian tidak bekerjasama dengan PH.