
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan, Yaacob Md Sam, M Gunalan dan Hakim Mahkamah Tinggi, Lim Chong Fong menolak rayuan tujuh individu yang mahu mencabar keputusan larangan merokok di kedai makan.
Mereka ialah Mohd Hanizam Yunus, 55, Zulkifli Mohamad, 60, Mohd Laisani Dollah, 49, Mohd Sufian Awaludin, 38, Ridzuan Muhammad Noor, 56, Mohd Yazid Mohd Yunus, 51, dan Yuri Azhar Abdollah, 43.
Gunalan, yang menyampaikan keputusan mahkamah dalam prosiding secara maya berkata, menteri kesihatan diberi kuasa di bawah undang-undang untuk melaksanakan sekatan ke atas merokok, seperti di mana atau apabila merokok dilarang.
“Kami berpendapat larangan merokok di kedai makan, restoran dan lain-lain boleh dianggap tidak melanggar Perkara 5 (kebebasan diri) dan Perkara 8 (semua orang sama di sisi undang-undang serta berhak mendapat perlindungan sama dari segi undang-undang) Perlembagaan Persekutuan.
Hakim itu berkata, panel Mahkamah Rayuan bersetuju dengan tafsiran Mahkamah Tinggi bahawa perbuatan merokok di tempat awam bukanlah hak asasi yang sepatutnya dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Memandangkan larangan itu terpakai kepada semua orang, semua pengunjung, isu diskriminasi jika timbul, tidak melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
“Tiada kesilapan undang-undang atau fakta atau kegagalan hakim Mahkamah Tinggi dalam membuat keputusan untuk menolak semakan kehakiman perayu. Oleh itu, tiada alasan untuk kami mengganggu atau mengubah keputusan hakim,” katanya.
Mahkamah juga tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.
Pada 29 Okt 2019, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mariana Yahya (kini hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan tujuh individu itu untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan KKM melarang merokok di kedai makan.
Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 31 Dis 2018 dengan menamakan KKM sebagai responden, tujuh lelaki itu yang menubuhkan persatuan dikenali sebagai Persatuan Pertahankan Perokok (PHP) mahu satu deklarasi bahawa keputusan KKM melarang merokok di kedai makan tidak berperlembagaan.
Mereka mendakwa perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makanan dan kerajaan tidak menyediakan kemudahan mencukupi seperti kawasan merokok atau memasukkan peruntukan di bawah larangan merokok bagi pengusaha kedai makan menyediakan kawasan larangan merokok mereka sendiri.
KKM melaksanakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan berkuat kuasa 1 Jan 2019.