PN terima 1 lagi SD sokong Muhyiddin, kata Hamzah

PN terima 1 lagi SD sokong Muhyiddin, kata Hamzah

Hamzah Zainudin berkata surat akuan berkenaan telah dihantar ke Istana Negara pagi ini.

(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) menerima satu lagi surat akuan berkanun (SD) daripada seorang lagi Ahli Parlimen yang menyatakan kepercayaan kepada Muhyiddin Yassin, sebagai perdana menteri ke-10.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata surat akuan berkenaan telah dihantar ke Istana Negara pagi ini.

Semalam, PN mendakwa telah mengemukakan lebih 112 SD daripada Ahli Parlimen yang memberi kepercayaan kepada Muhyiddin.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi masa kepada pemimpin parti dan gabungan sehingga 2 petang hari ini untuk mencadangkan calon perdana menteri masing-masing.

PN menang 73 kerusi dalam PRU15, kurang 39 kerusi untuk mendapat majoriti mudah, 112 di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi.

Pada malam Sabtu, Pengerusi PN Muhyiddin berkata, beliau telah mendapat sokongan mencukupi untuk menjadi perdana menteri, membayangkan beliau boleh mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menafikan perkara itu dengan menyatakan BN tidak berunding dengan mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan seterusnya.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim sejak itu berkata, PH dan BN sedang berunding untuk membentuk kerajaan, dan pemimpin kedua-dua gabungan dilihat pada mesyuarat di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Majlis Tertinggi BN kini sedang bermesyuarat menjelang tempoh akhir 2 petang ini yang ditetapkan oleh Istana Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.