Bertenang, tunggu keputusan, Loke beritahu rakyat

Bertenang, tunggu keputusan, Loke beritahu rakyat

Setiausaha agung DAP menyeru semua pihak termasuk ahli parti itu sentiasa menjaga keharmonian dan ketenteraman awam.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata proses pembentukan kerajaan sedang berjalan seperti dalam sistem demokrasi Berparlimen ala-Westminster.
KUALA LUMPUR:
Proses pembentukan kerajaan persekutuan pasca pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sedang berjalan ketika ini adalah sesuatu yang baharu bagi Malaysia, justeru semua pihak diminta kekal bertenang dan sabar menunggu keputusan muktamad daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata ia proses biasa yang perlu dilalui dalam sistem demokrasi Berparlimen ala-Westminster ketika tidak ada satu parti atau gabungan memenangi kerusi majoriti di Dewan Rakyat.

“Ketika proses pembentukan kerajaan baru selepas PRU15 masih berjalan, DAP menyeru semua pihak untuk kekal bertenang dan sabar menunggu keputusan muktamad daripada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan.

Loke berkata, DAP sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Rukun Negara dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Malaysia selain menyeru semua pihak termasuk ahli parti itu agar sentiasa menjaga keharmonian serta ketenteraman awam.

Ketua parti politik dan gabungan parti politik mempunyai tempoh hingga 2 petang ini untuk mengemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong gabungan pasca-PRU15 bagi pembentukan kerajaan baharu dan calon perdana menteri.

PRU15 Sabtu lalu, berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Keputusan PRU15 menyaksikan Perikatan Nasional memperoleh 73 kerusi Parlimen, Pakatan Harapan (82), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua), manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.