Umno patut sokong Anwar jadi PM, yakin DAP mampu ‘dijinakkan’, kata Lokman Adam

Umno patut sokong Anwar jadi PM, yakin DAP mampu ‘dijinakkan’, kata Lokman Adam

Bekas ahli MKT Umno itu berkata merujuk DAP sebagai 'kawan-kawan' selain memuji keterbukaan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berbanding Lim Guan Eng.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT) Lokman Adam, berkata Umno sebagai Melayu terbesar mampu ‘menjinakkan’ DAP terutama perkara berkaitan orang Melayu.
PETALING JAYA:
Tidak mustahil Umno mampu “menjinakkan kawan-kawan” DAP untuk bekerjasama membentuk kerajaan dengan menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, kata bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) Umno, Lokman Adam.

Katanya, beliau yakin Umno sebagai parti Melayu terbesar boleh melakukan demikian seperti mana PAS pernah membuka peluang bekerjasama dengan DAP dan Anwar.

“Sebagai parti Melayu terbesar, kita mampu ‘jinakkan kawan-kawan’ DAP itu dan saya rasa kawan-kawan DAP yang menggantikan legasi Lim Guan Eng atau keluarga Lim ini macam Anthony Loke (Loke Siew Fook) ini lebih terbuka.

“Saya rasa mungkin Umno boleh menjinakkan DAP sebagai sebuah parti untuk menerima Perkara 153, boleh menghormati kedudukan istimewa Islam orang Melayu, bahasa dan Raja-Raja. Tak mustahil,” katanya dalam TikTok.

Katanya, Umno tidak mempunyai pilihan selain bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) memandangkan Perikatan Nasional (PN) diketuai Bersatu ditubuhkan untuk “membunuh” Umno.

Beliau berkata, sekiranya Umno bersetuju bekerjasama dengan PH, presiden perlu meletakkan syarat kepada kerajaan.

“Pertama, Umno akan jadi pengimbang kerajaan…kita tak mahu lagi DAP ‘berleluasa’ macam dulu. Kalau Anwar nak Umno beri sokongan saya rasa presiden parti kena beritahu, kalau nak lantik pun menteri-menteri dalam kalangan DAP bagilah ‘tiga orang ke timbalan menteri pun tiga orang’.

“Kalau mereka lebih…orang akan marah pada Umno, tetapi kalau mereka tengok orang Umno lebih ramai dalam kerajaan, sudah pasti orang pun tak berapa marah,” katanya.

Lokman berkata, Umno perlu berani membuat teguran sebagai pihak yang melakukan semak dan imbang.

“….mereka (PH) dulu mentadbir 22 bulan, mereka gagal. ‘They need us, they need experience people in government’ (mereka perlukan kita, mereka perlu orang berpengalaman dalam kerajaan).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.