Tipu! Kami jumpa, Saarani tegas mahu kekal MB Perak, kata Peja

Tipu! Kami jumpa, Saarani tegas mahu kekal MB Perak, kata Peja

Pengerusi PN Perak itu berkata, beliau bersama Setiausaha PN Perak, Zainol Fadzi Paharudin menemui pengerusi BN negeri itu di Kuala Lumpur semalam.

Ahmad Faizal Azumu berkata, PN berlapang dada dan terbuka untuk bekerjasama dengan BN, tetapi Saarani Mohamad bertegas mahu PN menawarkan jawatan penting dalam kerajaan negeri.
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Ahmad Faizal Azumu menyifatkan dakwaan Saarani Mohamad bahawa gabungan itu tidak berjumpa atau menawarkan sebarang peranan kepada Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan negeri sebagai penipuan besar.

“Hakikatnya ialah saya telah bertemu dengan beliau pada Ahad, 20 Nov, di Kuala Lumpur.

“Pada perjumpaan yang turut dihadiri (Setiausaha PN Perak) Zainol Fadzi Paharudin, kami telah berunding tentang kemungkinan kerjasama PN dan BN menubuhkan kerajaan Perak,” katanya dalam kenyataan.

Faizal bagaimanapun tidak menyatakan tawaran yang diberikan PN kepada BN.

Tetapi katanya, dalam perjumpaan dengan Saarani itu, pengerusi BN Perak terbabit menyuarakan hasrat untuk jawatan menteri besar diberikan kepada BN, jika kedua-dua gabungan berjaya menubuhkan kerajaan negeri.

“Saya tegaskan PN berlapang dada dan terbuka untuk bekerjasama, namun pihak beliau (Saarani) bertegas untuk PN menawarkan jawatan penting dalam kerajaan negeri.”

Katanya, tiada kata putus dicapai dalam perjumpaan itu dan Saarani mahu merujuk kepimpinan Umno sebelum mencapai sebarang persetujuan.

Tetapi, beliau berkata, Saarani dan kepimpinan Umno “menyelamatkan jawatan menteri besar yang dipegangnya” sambil menipu perwakilan Perhimpunan Agung Umno lalu dengan slogan “No DAP”.

Petang tadi, Saarani yang juga ADUN Kota Tampan mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perak buat kali kedua, selepas BN dan Pakatan Harapan (PH) bersetuju menubuhkan kerajaan negeri bersama.

Pada pilihan raya umum ke-15, PN memenangi 26 kerusi DUN di Perak, diikuti PH (24) dan BN (9).

Saarani kemudian dilaporkan berkata, PH menemui beliau dan menawarkan peranan kepada BN dalam kerajaan baharu, iaitu jawatan menteri besar, tiga Exco dan speaker Dewan Undangan Negeri.

“Berbanding dengan PN, mereka tidak mahu datang berjumpa saya untuk berunding atau memberi apa-apa peranan,” katanya sambil menambah bukan kehendak BN mahu jawatan menteri besar, tetapi PH menawarkannya sebagai syarat untuk membentuk kerajaan campuran.

“Kalau tak terima, tentu ahli (BN) akan kata saya bodoh betul tak? Tapi peranan (menteri besar) yang ia bagi itu sesuai pada saya sebab saya (sebelum ini) adalah orang yang mengendalikan agenda Perak Sejahtera 2030, jadi saya nak teruskannya dan sebab itu saya terima.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.