Pemimpin BN tiba untuk mesyuarat Dewan Tertinggi

Pemimpin BN tiba untuk mesyuarat Dewan Tertinggi

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dijangka membincangkan kerjasama dengan gabungan lain untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Antara pemimpin BN yang tiba untuk mesyuarat Dewan Tertinggi gabungan itu ialah (dari kiri) Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil dan Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan.
KUALA LUMPUR:
Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) tiba di Ibu Pejabat Umno untuk menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi gabungan itu petang ini.

Mereka termasuk Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dan Presiden MIC, SA Vigneswaran serta Timbalannya, M Saravanan.

Ketua Umno Melaka, Abd Rauf Yusoh turut kelihatan memasuki bangunan itu, manakala Ketua Penerangan Umno yang baru dilantik semalam, Isham Jalil tiba lebih awal.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dijangka membincangkan kerjasama dengan gabungan lain untuk menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15.

Terdahulu, Ahli Parlimen BN bersama Pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi menghadiri satu pertemuan di Hotel Seri Pacific.

Pemimpin Pakatan Harapan turut hadir, dengan wakil daripada kedua-dua gabungan mengadakan rundingan untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Terdahulu, Zahid dalam sidang media berkata, semua Ahli Parlimen BN perlu mematuhi keputusan Dewan Tertinggi gabungan itu berhubung pembentukan kerajaan baharu.

Katanya, sebarang akuan berkanun yang ditandatangani Ahli Parlimen BN sebelum ini dianggap tidak sah.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong memberi lanjutan masa sehingga 2 petang esok untuk ketua parti dan gabungan menyerahkan cadangan calon perdana menteri mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.