
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, parti itu sentiasa akur kepada keputusan bersama dibuat dengan parti lain yang akan menubuhkan kerajaan campuran.
Katanya, parti itu akan mematuhi prinsip Islam “tiada paksaan dalam beragama”, di mana tiada orang boleh memaksa orang bukan Islam memeluk Islam, melainkan atas kerelaan dan kefahaman individu itu sendiri.
“PAS menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa PAS akan menggunakan kedudukan yang lebih dalam kerajaan untuk melaksanakan dasar menekan mana-mana pihak, apatah lagi di Sarawak dan Sabah yang rakyatnya menjalani kehidupan harmoni mengikut adat resam dan agama masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, FMT melaporkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dikatakan berbalah mengenai rancangan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan persekutuan.
GPS yang mempunyai 23 kerusi boleh menentukan bentuk kerjasama dalam penubuhan kerajaan baharu.
Seorang wakil rakyat GPS memberitahu FMT, wujud “ketakutan” dalam kalangan mereka berhubung kerjasama dengan parti komponen PN, iaitu PAS kerana kenyataan Presidennya, Abdul Hadi Awang pernah menyinggung perasaan orang Sarawak.
Semalam, Pengerusi GPS, Abang Johari Openg dilaporkan berkata, ia setuju bergabung dengan PN, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.
Tetapi, BN berkata, tiada rundingan diadakan dengan GPS atau PN mengenainya. Pemimpin BN dan Pakatan Harapan (PH) mengadakan pertemuan di ibu negara hari ini bagi membincangkan pembentukan kerajaan baharu.
Terdahulu, GRS yang memenangi enam kerusi Parlimen, hari ini mengulangi sokongannya terhadap Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri ke-10.
Tiada gabungan yang memiliki majoriti mudah susulan pilihan raya umum ke-15 pada Sabtu lalu.
PAS memenangi 49 daripada 73 kerusi Parlimen di bawah PN, manakala PH memiliki 82 kerusi dan BN (30), GPS (23), GRS (6), Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (1). Dua calon bebas turut dipilih sebagai Ahli Parlimen.