
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) berharap Istana Negara memberi lanjutan masa berbanding tempoh akhir ditetapkan pada 2 petang ini untuk menghantar nama calon perdana menteri, kata Ismail Sabri Yaakob.
Naib presiden Umno berkata perundingan dengan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) belum berlangsung dan tidak dapat dimuktamadkan, hari ini.
Beliau yang juga bekas perdana menteri, menafikan Ahli Parlimen BN sudah menandatangani akuan berkanun menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, sambil menyatakan tiada perundingan dibuat dalam pertemuan, hari ini, bersama pemimpin PH di Hotel Seri Pacific.
Ditanya bila Ahli Parlimen BN akan menandatangani akuan berkanun, Ismail berkata: “Saya tidak tahu lagi.”