Isham dilantik ganti Shahril jadi ketua penerangan Umno

Isham dilantik ganti Shahril jadi ketua penerangan Umno

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, pelantikan itu berkuat kuasa serta-merta.

Barisan Nasional Selangor menamatkan perkhidmatan Isham Jalil sebagai ketua penerangannya pada Jun lalu kerana jawatan itu tidak termaktub dalam perlembagaan BN.
PETALING JAYA:
Umno melantik Ahli Majlis Kerja Tertingginya, Isham Jalil sebagai ketua penerangan parti susulan peletakan jawatan Shahril Hamdan.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, pelantikan Isham berkuat kuasa serta-merta.

“Saya ingin sahkan menurut Fasal 9.6 Perlembagaan Umno, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi telah melantik Isham Jalil sebagai ketua penerangan Umno berkuat kuasa hari ini berikutan peletakan jawatan Shahril Hamdan,” tulisnya di Twitter.

Isham menerusi Twitter berikrar akan memegang amanah itu sebaik-baiknya.

“Saya ucapkan terima kasih atas pelantikan ini dan kepercayaan parti terhadap saya.”

Jun lalu, Barisan Nasional (BN) Selangor menamatkan perkhidmatan Isham sebagai ketua penerangannya kerana jawatan itu tidak termaktub dalam perlembagaan BN.

Terdahulu, Shahril yang dilantik sebagai ketua penerangan Umno pada 12 Mac 2020, melepaskan jawatan itu “atas semangat tanggungjawab kolektif”, susulan kekalahan BN semalam.

Beliau turut menyarankan Presiden Umno dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi “berundur secara terhormat”.

BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 berbanding Pakatan Harapan yang menguasai 82 kerusi dan Perikatan Nasional (73).

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.