
Katanya, tidak wajar menyalahkan Zahid saja, sebaliknya semua pemimpin Umno perlu bertanggungjawab atas kekalahan itu.
“Tidak sampai ke tahap itu (Zahid letak jawatan), kita kena bincang dengan semua, pemimpin Umno kena bertanggungjawab. Kalau nak letak jawatan, semua kena letak jawatanlah,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik Umno di ibu pejabat parti itu.
BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen pada PRU15, manakala Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional menguasai 82 serta 73 kerusi.
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi menjadi pemimpin pertama yang menggesa Zahid meletak jawatan.
Katanya, orang Melayu menolak Umno dan BN yang hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor dan langsung tiada kerusi dimenangi di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan serta Terengganu.
Ketua Pemuda Umno Kota Raja, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad turut menggesa Zahid berundur dan Timbalannya, Mohamad Hasan juga perlu berbuat demikian seperti yang dijanjikannya jika BN kalah pada PRU15.
Bung menyifatkan kekalahan pada PRU15 paling teruk dalam sejarah BN dan mereka perlu menerima hakikat rakyat menolak gabungan itu.
Katanya, Umno perlu mencari penyelesaian tuntas untuk kekal relevan.
“Setiap parti perlu transform parti mereka, senario kali ini berbeza dengan yang lain, kita kena pragmatik dalam menentukan masa depan negara. Kita kena pastikan Umno diberi nafas baharu untuk ‘survive’.”