
Prabakaran menang dengan majoriti 22,241 selepas mengumpul 45,716 undi keseluruhan, jauh meninggalkan pesaing terdekatnya, bekas naib presiden PKR Tian Chua bertanding sebagai calon bebas, yang hanya memperoleh 4,603 undi.
Pencabarnya yang lain, Naib Presiden MIC A Kohilan Pillay (Barisan Nasional) memperoleh 10,398 undi, manakala Azhar Yahya daripada Perikatan Nasional mendapat 23,475 undi.
Calon Pejuang, peguam Wan Azliana Wan Adnan memperoleh 849 undi. Naganathan Pillai (Warisan) 575 undi, dan Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia) dengan 137 undi.
Tiga calon bebas, iaitu peguam Siti Kasim (653 undi), pempengaruh media sosial Nur Fathiah Syazwana Shaharudin @ Cleo (628 undi) dan Too Cheng Huat (112) turut hilang wang deposit dalam cubaan mereka merebut kerusi Parlimen berkenaan.
Prabakaran ketika ditemui pemberita berkata, beliau amat berterima kasih kepada pengundi yang mengundinya.
“Saya akan bertemu dengan pengundi secara bersemuka sebagai tanda terima kasih atas sokongan mereka,” katanya, menurut Bernama.
“Saya akui agak gementar apabila mengetahui saya akan bertanding dengan sembilan calon lain, dalam saingan yang agak sengit, namun saya pasti pengundi di kawasan ini tahu siapa yang turun padang untuk bertemu mereka.”
Pada PRU14, Prabakaran bertanding sebagai calon bebas yang disokong PKR, menewaskan Dr Dominic Lau Hoe Chai (BN), Azhar Yahya (PAS) dan seorang lagi calon bebas, VM Panjamothy dengan majoriti 24,438 undi.