
Terdahulu, Zahid didakwa membatalkan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno untuk “bergegas” ke rumah Anwar bagi rundingan pembentukan kerajaan persekutuan.
Pengamal media menunggu di luar rumah Anwar di Sungai Long, dekat Kajang, susulan khabar angin berhubung kunjungan Zahid. Tetapi, beliau tidak muncul.
Menurut laporan Bernama, Anwar menafikan khabar angin berhubung pertemuan dengan Zahid.
Tiada gabungan yang memiliki majoriti mudah dalam pilihan raya umum ke-15, dengan Pakatan Harapan bersama Muda memenangi 82 kerusi Parlimen, disusuli PN (73), BN (30), GPS (22), GRS (6).
Malam tadi, Anwar mendakwa beliau memiliki sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan, tetapi enggan mendedahkan parti yang menyokongnya. Beliau mengulangi dakwaan itu malam ini, apabila ditemui wartawan di luar rumahnya.
“Saya masih tegaskan pendirian saya bahawa kita sudah punyai majoriti dan mendapat sokongan dan saya yakin kita akan diberikan peluang untuk mentadbir negara.
“Sejak semalam lagi kita dah cukup (majoriti), biar parti-parti berkenaan mengumumkan dengan siapa mereka akan bergabung dalam masa terdekat ini, sama ada malam ini ataupun esok,” katanya dipetik Bernama.
Terdahulu, pemimpin Perikatan Nasional menemui pemimpin GPS dan GRS berhubung penubuhan kerajaan campuran. GPS mendakwa ia setuju bergabung dengan PN, BN dan GRS untuk membentuk kerajaan baharu, tetapi dinafikan Zahid kemudian.