Rayuan Laidlaw harus dibatalkan, kata pihak pendakwaan

Rayuan Laidlaw harus dibatalkan, kata pihak pendakwaan

Pendakwa raya berhujah bahawa rayuan itu kini bersifat akademik dan keputusan untuk meneruskannya adalah menyalahguna proses mahkamah.

Permohonan Peguam Diraja Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib Razak dalam rayuan rasuah SRC International telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada Julai. (Gambar 2HareCourt)
PETALING JAYA:
Pendakwa Raya mahu Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuan peguam UK Jonathan Laidlaw untuk mendapat kebenaran bagi mewakili Najib Razak dalam kes jenayah SRC International.

Dalam permohonan difailkan semalam, pendakwa raya itu, yang tidak dinamakan oleh Peguam Diraja itu sebagai responden dalam rayuan, memohon kebenaran untuk campur tangan.

Beliau berkata, Laidlaw sepatutnya menjadikan pendakwa raya sebagai responden ke-4 dalam rayuan itu kerana dia merupakan pihak dalam permohonan asal di Mahkamah Tinggi.

Peguam negara, Badan Peguam dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur adalah tiga lagi responden dalam prosiding itu.

Keempat-empat responden membantah untuk Laidlaw diterima masuk.

Ketika memohon untuk membatalkan rayuan tertangguh di Mahkamah Persekutuan, pendakwa raya terbabit, yang mengendalikan semua kes jenayah bagi pihak kerajaan, berhujah bahawa rayuan itu kini bersifat akademik dan keputusan untuk meneruskannya adalah menyalahguna proses mahkamah.

Beliau juga berkata, rayuan Laidlaw tidak mendedahkan sebab tindakan yang munasabah.

Pendakwa raya itu juga berkata, rayuan Laidlaw difailkan di luar tempoh masa dan oleh itu, ia tidak kompeten.

“Rayuan itu jelas tidak boleh dipertahankan dan sepatutnya dibatalkan,” kata pendakwa raya itu.

Permohonan itu disokong oleh afidavit yang difailkan oleh timbalan pendakwa raya Ashrof Adrin Kamarul.

Badan Peguam semalam turut memfailkan usul yang sama untuk membatalkan rayuan Laidlaw atas alasan rayuan jenayah Najib telah diselesaikan dengan muktamad.

Ia seterusnya mendakwa bahawa peguamcara Najib pada masa itu, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan T H Liew & Partners, telah memberikan petunjuk jelas pada 29 Julai bahawa Laidlaw tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi.

Setiausaha Kehormat Badan Peguam B Anand Raj, memfailkan afidavit untuk menyokong permohonan bagi membatalkan rayuan itu atas alasan bahawa ia kini bersifat akademik.

Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos mengekalkan sabitan Najib dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas pertuduhan rasuah berkaitan dana milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Laidlaw telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai untuk mewakili Najib.

Peguam asing mesti memohon kemasukan ad hoc sebelum mereka boleh mewakili anak guam di sini.

Permohonannya ditolak oleh Hakim Ahmad Kamal Shahid pada 21 Julai selepas hakim memutuskan Laidlaw tidak memiliki sebarang kelayakan dan pengalaman khas.

Laidlaw memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan pada 22 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.