Banjir kilat lagi, bekas Ahli Parlimen ulang seruan rangka pelan kontingensi PRU15

Banjir kilat lagi, bekas Ahli Parlimen ulang seruan rangka pelan kontingensi PRU15

Charles Santiago berkata, kegagalan SPR menyediakan pelan sedemikian mungkin menyaksikan ramai memilih untuk tidak mengundi.

Charles Santiago berkata, SPR antara yang patut dipertanggungjawabkan jika ada yang tidak keluar mengundi kerana terjejas akibat banjir. (Gambar FB Charles Santiago)
PETALING JAYA:
Seorang bekas Ahli Parlimen DAP sekali lagi menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mengumumkan pelan kontingensi dan prosedur operasi standard (SOP) untuk hari pengundian pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sekiranya pusat pengundian terjejas akibat banjir.

Charles Santiago berkata demikian selepas sebuah pusat mengundi di sini dinaiki banjir sehingga 60cm berikutan hujan lebat semalam. Beberapa kawasan di Klang dan Shah Alam turut dilanda banjir kilat, manakala Petaling dan Hulu Langat terjejas,

“Saya sudah berulang kali menyeru SPR agar memaklumkan pelan kontingensi dan SOP, tetapi tiada hasil,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kegagalan SPR menyediakan pelan sedemikian mungkin menyaksikan ramai memilih untuk tidak mengundi.

Sebuah pusat mengundi yang dinaiki banjir berikutan hujan lebat.

“Jika mereka (yang terjejas) tidak mengundi, SPR antara yang patut dipertanggungjawabkan,” katanya.

Awal bulan ini, Ismail Sabri Yaakob berkata, SPR akan memutuskan sama ada proses pilihan raya akan diteruskan jika negara dilanda banjir besar.

Pada 2 Nov, Santiago mempersoalkan kesiapsiagaan SPR menghadapi cuaca buruk yang diramalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), termasuk ribut petir di 12 negeri pada hari penamaan calon.

Pada Isnin, MetMalaysia berkata, ia menjangkakan cuaca baik di beberapa negeri pada hari pengundian. Menurutnya, tiada hujan diramalkan pada sebelah pagi di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak.

Bagaimanapun, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan sebahagian Labuan dijangka dilanda hujan dan ribut petir pada sebelah pagi dan petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.