
Khairy berkata, kes baharu Covid-19 menurun kepada 13.4% berbanding minggu lalu, manakala jumlah pesakit dimasukkan ke hospital sudah mendatar dan diramal menurun.
Walaupun kadar kematian Covid-19 menunjukkan peningkatan sedikit iaitu 0.07% pada minggu lalu, namun beliau berkata, kadar itu jauh di bawah penunjuk kadar kes kematian sebanyak 3%.
Dengan mengemukakan statistik itu pada sidang media, di Hospital Sungai Buloh, hari ini, Khairy yakin gelombang baharu Covid-19 sudah mencapai puncak atau telah terkawal.
“Kita menuju ke arah endemik tidak lama lagi,” katanya.
Pada awal November, Kementerian Kesihatan mengumumkan gelombang baharu kes Covid-19 susulan penemuan sub-varian Omicron XBB di negara ini.
Dalam pada itu, Khairy berkata, individu positif Covid-19 yang akan memilih pada hari pengundian tidak perlu berbaris, namun akan diiringi pegawai Kementerian Kesihatan terus ke bilik mengundi.
Mereka dikehendaki memperkenalkan diri kepada pegawai kesihatan di pintu masuk pusat pengundian, sentiasa memakai pelitup muka dan terus meninggalkan pusat pengundian selepas selesai memilih.
“Ini bermakna individu positif Covid-19 tidak perlu berbaris. Mereka tidak akan berbaris bersama pengundi lain,” katanya.
Semalam, Khairy mengumumkan tiada keperluan untuk membuat lorong khas di pusat pengundian, mengambil kira kekangan sumber, ruang dan sumber manusia dihadapi Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, aplikasi MySejahtera akan memaklumkan garis panduan kepada individu positif Covid-19 berhubung langkah membuat pengundian.
Beliau berkata, langkah disebutkan itu merupakan tindakan paling cekap bagi golongan itu mengundi.
Khairy juga menggesa orang awam sentiasa berwaspada pada hujung minggu ini, terutama ketika hari pengundian.
“Pada hari pengundian, ribuan pengundi akan keluar dan pastinya menimbulkan kesesakan. Bawa pelitup muka dan memakainya ketika anda mengundi,” katanya.