
Ia berkata keputusan pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor berkemungkinan menjadi petunjuk bahawa BN telah memperoleh semula momentum politik, sambil menambah bahawa ia mempunyai kelebihan menjadi gabungan paling lama memerintah di negara ini.
“Ini telah memberi manfaat dalam janji pilihan raya dibuatnya bahawa mereka mempunyai lebih banyak pengalaman mentadbir yang sebenar berbanding gabungan politik lain serta jangkaan realistik bahawa mereka akan dapat memenuhi janji mereka sebaik sahaja dipilih,” kata cabang penyelidikan agensi penarafan kredit AS Fitch Solutions itu.
Menurutnya, kebarangkalian untuk Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) menang berada di bawah sedikit daripada 25%, dengan menyatakan bahawa momentum PH telah menyusut sejak kemenangan pada pilihan raya umum 2018.
Selain itu katanya, PN menunjukkan prestasi buruk pada PRN Melaka dan Johor dan percaya perkara yang sama akan dilihat pada PRU15.
“Walaupun janji pilihan raya PH sebahagian besarnya mempunyai unjuran kesan positif yang sama kepada ekonomi seperti BN, mereka juga dituduh membuat janji pilihan raya populis yang tidak mempunyai kesan positif berpanjangan untuk pengguna, seperti menghapuskan caj tol lebuh raya.
“Golongan miskin di luar bandar tidak mungkin selalu menggunakan lebuh raya dan akan mendapat manfaat minimum daripada ini. Sebaliknya, ia adalah beban tidak langsung kepada demografi pendapatan terendah kerana kerajaan mengambil perbelanjaan tambahan sekiranya caj tol dimansuhkan,” katanya.
Ia menjangkakan kerajaan baharu BN akan membawa kepada campur tangan negeri yang lebih besar dalam ekonomi, termasuk pengenalan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan perluasan tindakan afirmatif berasaskan kaum.
Bagaimanapun, ia menjangkakan BN akan mentadbir dengan “agak pragmatik” dan meneruskan keterbukaan Putrajaya kepada pelaburan asing.
Katanya, pelaksanaan semula GST akan memberi petanda baik untuk tinjauan fiskal jangka sederhana negara.