
Johari berbangga menjadi lepasan sekolah kebangsaan itu, kerana diberikan pendidikan asas kepada beliau untuk meneruskan pembelajaran sehingga keluar negara.
“Pada satu peringkat hidup saya, kita cuma seorang pelajar tapi saat itu bila saya melangkah masuk, saya tengok sekolah ini dapat melahirkan seseorang seperti saya…saya rasa bangga kaitan langsung saya dengan sekolah ini,” katanya kepada FMT.
Johari menambah dirinya contoh seseorang yang dapat meraih manfaat daripada sistem pendidikan yang baik, dan bersyukur ia telah mengeluarkan beliau daripada kepompong kemiskinan.
“Keluarga saya pernah duduk dalam kawasan flat, tetapi sekarang tidak lagi, kerana pendidikan telah mengeluarkan saya daripada kitaran hidup yang mencabar itu.”
Kini, Johari yang pernah menjadi menteri kewangan II daripada 2016-2018, bertekad mahu membantu membina masa depan lebih baik untuk anak muda menerusi pendidikan.
Pendidikan satu-satunya cara untuk keluar daripada kemiskinan, tegasnya, tetapi beliau perlulah memenangi parlimen Titiwangsa terlebih dahulu.
Johari terpilih untuk mewakili rakyat Titiwangsa pada 2013 tetapi tewas kepada Rina Harun pada PRU 2018.
Walaupun beliau boleh bertanding di kawasan lain, Johari tetap kekal di Titiwangsa meskipun berdepan pengundi bandar yang dikatakan cenderung ke arah “anti-establishment” – hal yang menyukarkan peluang BN.
Titiwangsa merupakan kawasan majmuk. Pengundinya yang seramai 80,700 orang terdiri daripada 70% Melayu, 17% Cina, 9% India, dan 2.8% lain-lain.
“Kita kena bersedia bekerjasama dengan semua orang,” kata Johari, dan menambah setiap komuniti kaum itu berdepan isu-isu berbeza. “Kalau anda mahu menjadi pemimpin yang boleh diharap, anda mestilah boleh menangani isu-isu dalam kawasan itu.”
Katanya lagi, seseorang pemimpin harus belajar bagaimana menyumbang kepada rakyat dalam kawasannya, kerana pengalaman tersebut boleh digunakan untuk menangani isu-isu lebih besar di peringkat persekutuan.
Johari berdepan pertandingan empat penjuru di Titiwangsa, dicabar Khalid Samad (Pakatan Harapan), Dr Rosni Adam (Perikatan Nasional), dan Khairuddin Abu Hassan (Pejuang).