‘Apalah sangat 70 profesor sokong Anwar’, sindir calon BN Pasir Salak

‘Apalah sangat 70 profesor sokong Anwar’, sindir calon BN Pasir Salak

Khairul Azwan Harun berkata sejumlah 70 profesor yang menyokong pengerusi PH itu sebagai calon perdana menteri tidak melambangkan sokongan pengundi, pada PRU15.

Calon Barisan Nasional (BN) Pasir Salak, Khairul Azwan Harun, ‘meremehkan’ sokongan 70 profesor Melayu yang dikenali sebagai ‘G70’ terhadap Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH). (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Calon Barisan Nasional (BN) Pasir Salak, Khairul Azwan Harun, didakwa “meremehkan” sokongan 70 profesor Melayu yang dikenali sebagai ‘G70’ kepada Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, pilihan kumpulan itu juga sama sekali tidak mewakili keseluruhan pengundi di negara ini.

“Kalau ada 7,000 profesor yang sokong Anwar pun tiada masalah kerana pengundi di Malaysia ini jumlahnya lebih 21 juta orang.

“Apalah sangat 70 orang itu jika mahu dibandingkan dengan jumlah keseluruhan pengundi. Angka 70 itu langsung tidak mewakili mahupun melambangkan pengundi pada PRU15 (Pilihan Raya Ke-15),” lapor Kosmo.

Khairul Azwan yang juga timbalan ketua Umno Pasir Salak berkata demikian ketika mengulas sokongan kumpulan itu kepada Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Menurut kumpulan berkenaan, sokongan kepada calon kerusi Parlimen Tambun itu berdasarkan kredibiliti dan prestasi cemerlang, selain satu-satunya tokoh berwibawa dan berpengalaman, serta integriti yang mampu memimpin masyarakat majmuk.

Bahkan, kumpulan itu juga mendakwa PH merupakan pilihan terbaik untuk membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi masa kini.

Bagaimanapun, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan menafikan sebarang pembabitan pihaknya dengan penganjuran sidang akhbar khas Deklarasi Profesor Melayu G70.

KPT dalam kenyataannya berkata, kumpulan itu bukan representasi rasmi kakitangan akademik atau profesor daripada institusi pengajian tinggi (IPT).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.