Anwar ‘tak sentuh langsung’ Zahid, tapi serang saya, kata Muhyiddin

Anwar ‘tak sentuh langsung’ Zahid, tapi serang saya, kata Muhyiddin

Pemimpin PN terus memainkan cerita berkait dakwaan adanya suatu 'persefahaman' antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan selepas PRU15 meskipun ia dinafikan.

Muhyiddin Yassin mendakwa tindakan Anwar Ibrahim tidak menyerang Ahmad Zahid Hamidi menguatkan lagi dakwaan wujud perjanjian ‘gelap’ PH-BN akan bergabung membentuk kerajaan selepas PRU15.
PAGOH:
Pemimpin Perikatan Nasional terus memainkan cerita berkait dakwaan adanya suatu ‘persefahaman’ antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan selepas PRU15, meskipun ia dinafikan oleh pemimpin kedua-dua gabungan itu.

Terbaharu, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin mendakwa Pengerusi PH, Anwar Ibrahim tidak ‘menyerang’ Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, ketika beliau berkempen di Parlimen Bagan Datuk pada Isnin lepas.

Muhyiddin mendakwa Anwar ‘tidak sentuh’ Zahid meskipun pemimpin BN itu berdepan kes mahkamah.

“Dia (Anwar) tak sentuh langsung. Jadi apakah betul pandangan sesetengah pihak seolah-olah ada bentuk satu persefahaman atau kerjasama kalau tak cukup bilangan (kerusi menang),” katanya selepas program bersama penduduk Kampung Jawa.

“Anwar tahu Umno korup, salah guna kuasa, penyelewengan, ada sudah masuk penjara. Kes ‘kluster mahkamah’ di hadapan dia, yang itu dia tak serang. Saya ini apa ada? Kalau ikut, kes tiada. Kenapa saya diserang?” soalnya.

PRU15 menyaksikan PN pimpinan Muhyiddin bersaing dengan BN meskipun parti beliau pernah bekerjasama Umno untuk membentuk kerajaan sebelum ini, di sebalik laporan mengenai perseteruan kedua-dua parti.

Sementara itu, Muhyiddin percaya Anwar amat bimbang dengan sokongan terhadap PN, terutama trend anak muda yang menurut beliau menjurus ke arah gabungan pimpinannya itu.

“Muka dia tak cerah sekarang, sedih saja. Bagi saya, ini soal persaingan dalam sistem demokrasi. Ada orang suka, ada orang tak suka, itu biasalah. Saya serang dia juga. Dia kata saya ‘bapa perintah kawalan pergerakan’…tak apalah, mungkin dia sudah tertekan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.