Tiada isu siapa dominasi siapa dalam PN, kata PAS

Tiada isu siapa dominasi siapa dalam PN, kata PAS

Timbalan Presiden PAS berkata, setiap keputusan yang diambil adalah diputuskan secara bersama, cuma pada akhirnya disebut oleh Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua kenyataan PN selepas bermesyuarat mestilah daripada Muhyiddin Yassin selaku pengerusi gabungan itu.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan tidak timbul isu siapa mendominasi siapa dalam Perikatan Nasional (PN) kerana setiap keputusan yang diambil adalah diputuskan secara bersama.

“Tidak, kita ada majlis tertinggi parti yang (melibatkan) semua komponen kelima-lima parti dalam majlis tertinggi.

“Sama dengan Barisan Nasional (BN), orang lihat BN didominasi oleh Umno. Sedangkan dia buat keputusan bersama-sama, kita (PN) pun sama,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Menjawab dakwaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengenai PAS didominasi Bersatu dalam PN, Tuan Ibrahim berkata, semua kenyataan mestilah daripada Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN apabila bermesyuarat.

“(Keadaan itu) bukan bermakna didominasi tetapi ialah keputusan bersama yang disebut oleh pengerusi. Saya rasa tak timbul soal dominasi.

“Apa-apa keputusan pun Muhyiddin mesti dibincangkan dengan presiden PAS, hatta beliau pun datang ke Terengganu. Kalau ada benda penting beliau (Muhyiddin) akan datang ke Terengganu, jumpa tok guru (Abdul Hadi),” tambahnya.

Katanya, beliau pun banyak kali jumpa Muhyiddin mengadakan perbincangan dengan PAS sekiranya ada benda penting, sedangkan PAS dengan Bersatu menjadi tunggak kepada PN.

Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata PAS sebagai parti besar dan sudah lama ditubuhkan sepatutnya menjadi parti dominan dalam PN.

Justeru, katanya PAS patut mempunyai pandangan sendiri dan ada hak bersuara dalam gabungannya, termasuk menentukan kerjasama parti itu dengan parti atau gabungan lain selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Saya difahamkan presiden Bersatu (Muhyiddin) tidak puas hati dengan kenyataan setiausaha agung PAS (Takiyuddin Hassan) yang menyatakan kesediaan bekerjasama dengan BN jika tidak mendapat majoriti mudah pada PRU15.

“PAS ini parti besar dan lebih awal daripada Bersatu, sepatutnya dominan dan ada ‘say’ dalam PN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.